Kematian Adib: Macam ada konspirasi umum afidavit?

adib

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya mendakwa wujud konspirasi terhadap inkues membabitkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Advertisement

Beliau dalam satu sidang media mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Thommy Thomas yang mengumumkan afidavit kes berkenaan sedangkan proses inkues Adib sedang dijalankan dan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Kita mempersoalkan kenapa afidavit ini dibuat ketika inkues sedang berjalan, seolah-olah ada satu konspirasi yang dibuat oleh pihak tertentu, (iaitu) pihak atasan untuk mengatakan bahawa arwah Adib ini bukan mati disebabkan dipukul, tetapi disebabkan oleh dilanggar kenderaan yang berada di lokasi berkenaan pada malam tersebut,” jelasnya.

Dimaklumkan, afidavit tersebut antara lain menyatakan bahawa kecederaan yang dialami Adib sehingga membawa kepada kematian bukan disebabkan oleh dipukul perusuh walaupun inkues kematian arwah Adib masih dijalankan.

Sehubungan itu, Aminuddin berpendapat bahawa tindakan Peguam Negara merupakan sesuatu yang tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip undang-undang apabila afidavit diumumkan sebelum selesai inkues.

Sementara itu, Timbalan Pengerusinya, Kamaruzzaman Mohamad turut berpendapat konspirasi tersebut bertujuan untuk mengaburi kesilapan Peguam Negara yang membuat keputusan awal serta mendahului proses keadilan dan proses mahkamah berkenaan kes kematian arwah Adib.

“Jadi ini memperlihatkan seolah bahawa Peguam Negara sudah ada ‘agenda setting’ dia sendiri yang ingin dibuat terhadap kes Adib, dan keputusan dibuat tanpa melalui proses perundangan, melalui proses kehakiman yang sepatutnya dibuat.

“Ianya seolah-olah satu konspirasi daripada Pejabat Peguam Negara untuk satu kes yang istimewa dimana seorang penjawat awam dibunuh oleh sekumpulan perusuh dan seolah – olah kes ini ingin menutup kesalahan perusuh dan dijadikan keputusannya bahwa Adib meninggal kerana kemalangan, bukan dipukul perusuh,” ujarnya dalam satu sidang media Ummah di Pejabat Muafakat, di sini hari ini.

Untuk rekod, afidavit yang disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul oleh sesiapa. – HARAKAHDAILY 18/4/2019