Paksaan bertudung: Latheefa perlu berhati-hati

SAYA membaca kenyataan peguam Latheefa Koya Abdullah yang mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita bertudung. Kenyataan tersebut disiarkan melalui laman portal berita MalaysiaKini dengan tajuk “Wanita tidak seharus dipaksa bertudung – Latheefa”. Pada saya, kenyataan tersebut sangat merbahaya dan tidak wajar sama sekali dikeluarkan oleh seorang wanita muslimah.
 
Pada asasnya, perlu difahami bahawa menutup aurat adalah sesuatu yang menjadi kewajipan di dalam Islam. Aurat seorang wanita muslimah bukan merupakan maklumat rahsia bahawa ia meliputi seluruh anggota tubuh melainkan muka dan tangan. Justeru, dengan menyatakan bahawa seorang wanita (muslimah) tidak seharusnya dipaksa untuk bertudung adalah satu kenyataan boleh difahami telah menafikan kewajipan untuk menutup aurat bagi seorang wanita muslimah.
 
Saya setuju bahawa kita tidak boleh memandang rendah dan serong terhadap wanita muslimah yang tidak bertudung. Kemungkinan yang mendorongnya untuk tidak menutup aurat dengan sempurna berpunca dari pelbagai faktor sama ada kejahilan, tekanan sekitar dan sebab-sebab lain. Bagaimanpun, ia tidak pernah menafikan bahawa sebagai seorang muslimah, menutup aurat dengan sempurna tetap menjadi kewajipan.
 
Menyatakan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung samalah ertinya ada menyatakan bahawa umat Islam tidak harus dipaksa solat, atau anggota masyarakat tidak harus dipaksa menjaga kebersihan. Konotasi ‘dipaksa’ itupun telah membawa kepada satu pemahaman berbentuk negatif.
 
Bukan menjadi satu keperluan untuk membuat penegasan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung pada masa kini. Pendidikan terhadap wanita muslimah perlulah sentiasa berterusan agar mereka memahami bahawa menutup aurat merupakan satu kewajipan di dalam Islam. Ia bukanlah kerana orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, dan rambut, dan seks sebagaimana dakwa Latheefa tetapi ia adalah kerana perintah Allah S.W.T.
 
Saya nasihatkan Latheefa Koya, berhati-hatilah khususnya dalam urusan agama.
 
AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
18 April 2019
Advertisement