Razman suarakan isu tani di Sidang Dun Perak

IPOH: Tindakan Kerajaan Malaysia Baharu dilihat boleh memberi kesan buruk terhadap golongan petani dan institusi berkaitannya sedangkan sektor itu merupakan penyumbang ketiga Keluaran Dalam Kasar (KDNK).
 
Razman Zakaria (PAS – Gunung Semanggol) membangkitkan isu-isu berkaitan ketika membahaskan Titah Diraja pada Sidang Dun Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
 
Katanya, persepsi dibina menggambarkan agensi seperti FELDA dan FELCRA mempunyai masalah, boleh menyebabkan kegagalan kepada institusi itu hingga memberikan impak sosial dan ekonomi kepada rakyat.
 
Kerana ujarnya, konglomerat perladangan terbesar negara itu dahulunya bermula dengan hutang dari Bank Dunia, tetapi usaha kerajaan dahulu telah mengangkatnya hingga berjaya mengumpul aset berbilion ringgit.
 
Beliau turut mengemukakan kejayaan yang dirangsang Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Perak (PKEINP) ke atas industri pertanian dalam negeri hingga mendapat pengiktirafan dan menyumbang KDNK.
 
“PKEINP mendapat pengiktirafan Malaysia Palm Oil Board (MPOB) iaitu Anugerah Industri Sawit Malaysia atas kejayaan mengurus ladang Rancangan Tanaman Berkelompok (RTB) Pulau Tiga.
 
“(Ianya) kerana mencatat hasil tertinggi di Semenanjung bagi kategori ladang berkeluasan 500 hingga 2,000 ekar,” ujarnya menyenarai pencapaian pernah diraih ke atas sektor tersebut.
 
Bagaimanapun kesalinya, di bawah kerajaan kini telah bertindak antaranya memotong Bantuan Sara Hidup peneroka dan aset agensi berkaitan terpaksa dijual kononnya kerana masalah kewangan.
 
Bidasnya, disebalik dakwaan permasalahan tersebut yang dikaitkan kepada kerajaan dahulu, namun hingga kini belum ada satupun tuduhan berkaitan dibuktikan, sebaliknya peneroka telah menerima kesannya.
 
Oleh itu beliau menggesa kerajaan baharu mencari dan mengenal pasti kaedah bagi membantu golongan tersebut iaitu peserta FELCRA dan peneroka FELDA yang terkesan dari pemotongan bantuan berkenaan.
 
Beliau turut mahu kerajaan negeri berusaha membantu 40,000 keluarga pekebun kecil sawit yang terkesan dari kejatuhan harga komiditi itu, selain merancakkan sama ekonomi desa dan pinggir desa.
 
“Selain dari idea kelapa sawit ganti dengan tanama buluh dan nanas, rakyat menanti apakah idea kerajaan baharu dalam menjana pendapatan rakyat khususnya golongan petani,” ujarnya menyatakan masalah yang berlaku juga menjadi punca merudumnya kuasa beli golongan tersebut. – HARAKAHDAILY 18/4/2019
Advertisement