Debaran keputusan Pemilu Indonesia

SIAPAKAH yang akan memenangi Pilpres Indonesia, Jokowi atau Prabowo? Bilakah keputusan rasmi Pemilu akan diumumkan?

Advertisement

Itulah persoalan yang sedang berlegar di pemikiran kita.

syahir2Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, keputusan rasmi Pemilu 2019 hanya akan diumumkan secara progresif bermula 25 April hingga 22 Mei 2019.

Manakala pengumuman rasmi Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 pula dijadualkan pada 20 Oktober 2019.

Debaran selepas ‘pencoblosan’ pada 17 April yang lalu adalah terhadap unjuran ‘hitung cepat’ (quick-count) yang dijalankan oleh 40 badan bebas berdaftar dengan KPU.

Unjuran hitung cepat berkenaan adalah keputusan tidak rasmi yang menggunakan kaedah statistik dengan mengambil sejumlah kertas undi di Tempat Pemungutan Suara (TPS) terpilih untuk dijadikan sampel bagi membuat anggaran keputusan keseluruhan.

Badan kajian bebas tersebut menggunakan sampel kiraan undi di 3,000 hingga 6,000 TPS yang terpilih, berdasarkan kriteria pemilihan TPS tertentu.

Berdasarkan unjuran hitung cepat oleh badan-badan bebas antaranya KOMPAS, Indo Barometer, Charta Politika Indonesia, Poltraking Indonesia dan Indikator Politik Indonesia, dijangkakan pasangan Jokowi-Ma’ruf memperoleh peratusan undi antara 54 hingga 56 peratus, manakala pasangan Prabowo-Sandiaga meraih antara 44 hingga 46 peratus.

Namun Prabowo menolak unjuran hitung cepat yang dilakukan badan-badan berkenaan, dan mendakwa sudah berada di posisi 62 peratus pada malam hari pencoblosan.

Berdasarkan Pemilu 2014, jangkaan hitung cepat yang dijalankan oleh badan-badan bebas tersebut hampir 99 peratus tepat dengan keputusan akhir yang diumumkan oleh KPU.

Maka adalah sukar untuk menjangkakan keputusan rasmi yang terhasil daripada pencoblosan 77.5 peratus pengundi yang keluar daripada 190 juta pengundi yang berdaftar dalam Pemilu 2019 ini, melibatkan lebih 780,000 TPS keseluruhannya.

Justeru semua pihak disarankan untuk bertenang dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau provokasi menjelang pengumuman rasmi oleh KPU, melibatkan keputusan Pilpres dan pemilihan legislatif (Pileg) yang dijalankan serentak buat pertama kalinya di Indonesia.

Ternyata kehangatan dan tumpuan terhadap Pemilu 2019 adalah sangat tinggi kerana ianya bukan sekadar menjadi penentu kepada hala tuju sosio-ekonomi di kepulauan Indonesia, malah turut memberi kesan kepada kestabilan geopolitik di rumpun Nusantara.

SYAHIR SULAIMAN
Jakarta
18 April 2019 – HARAKAHDAILY 19/4/2019