XPDC Mahabah Briged, Ameerah dan Puteri

LUMUT: Briged Muslimat dan Ameerah PAS Kawasan serta Puteri Umno Bahagian Lumut telah bekerjasama menganjurkan XPDC Mahabah yang diadakan di Pusat Ekologi Vale, Teluk Batik, di sini semalam.

Advertisement

Aktiviti tersebut bertujuan merapatkan ukhuwah antara sesama anggota dari dua parti besar umat Melayu Islam itu dan telah menerima 42 peserta yang berusia antara 9 hingga 59 tahun.

Ianya turut dijayakan dengan bantuan daripada Jabatan Amal Malaysia Lumut dan Pegawai Bomba dan Penyelamat Malaysia Balai Lumut selaku pemandu arah dan keselamatan peserta.

Pihak PAS dipimpin Ketua Ameerah Lumut, Syahirah Abdullah, manakala Umno oleh Ketua Puteri, Mazwinteh Abd Rahman, dengan pelepasan dan doa dibacakan Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin.

Pendakian tersebut sememangnya mencabar bagi para peserta terhadap aspek stamina diri, namun dikawal menerusi rehat pada ‘check point’ yang ditetapkan sepanjang rentas sejauh 1,400 meter itu.

Pergerakan tersebut juga memberi pengalaman dan pendedahan ilmu kepada peserta khususnya mengenai pertolongan cemas yang sempat diterapkan kepada mereka sepanjang ekspedisi.

Ianya sekali gus menyemai nilai murni dan positif, terutama setiakawan yang direalisasikan selain aspek Islami seperti sahsiah diri, aurat dan maruah selaku muslimah solehah disebalik aktiviti lasak.

Seusai menuruni laluan khazanah alam semulajadi itu, peserta telah disegarkan dengan hidangan kudapan dan tazkirah oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Lumut, Putiah Shaarani. – HARAKAHDAILY 21/4/2019

IMG 20190421 WA0003

 

IMG 20190421 WA0001