Pelihara alam sekitar tanggungjawab bersama

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyarankan agar seluruh penguasa dan masyarakat bersama memainkan peranan untuk menjaga alam sekitar.
 
Dalam Islam, alam sekitar yang dicipta oleh Allah adalah antara bukti kekuasaan Tuhan dan semua yang dijadikan mempunyai fungsi yang berkaitan dengan keseimbangan alam ini.
 
Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan oksigen digunakan untuk kehidupan manusia. Dan begitulah juga flora dan fauna keseluruhannya mempunyai kepentingan tertentu untuk keseimbangan alam ini.
 
Oleh yang demikian, sempena Hari Bumi pada tahun ini, seluruh rakyat dan khususnya pihak berkuasa mesti menekankan kepada penjagaan alam sekitar.
 
Konsep pembangunan mapan yang pernah menjadi agenda dunia sejak tahun 1987 mestilah menjadi dasar dalam setiap perancangan yang dilakukan. Di samping itu ketegasan dan ketelusan dalam pengamalan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA) mestilah dilakukan secara adil dan saksama. Kita tidak mahu ada agenda perancangan dan pembangunan yang mengambil ringan perkara ini.
 
Dalam konteks negeri Sabah yang kaya dengan sumber alam dan kayu kayan ini, semuanya mesti digunakan secara terkawal dan diurus secara sistematik. Pihak berkuasa haruslah tegas terhadap sebarang pencerobohan di kawasan-kawasan hutan simpan dan juga sebarang kawasan yang diwartakan untuk sesuatu kegunaan secara khusus.
 
Situasi sekarang kita melihat masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Kita jangan lupa akibat daripada perancangan yang tidak tegas dan sistematik boleh menyebabkan antaranya banjir kilat, banjir lumpur, tanah runtuh dan pelbagai masalah lain. 
 
Jangan kita lupa bahawa alam sekitar juga ada hak yang perlu dijaga oleh manusia.
 
MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
21 April 2019 – HARAKAHDAILY 21/4/2019
Advertisement