Isu ceroboh perairan perlu selaras agensi terbabit

KUALA LUMPUR: Isu keselamatan perairan negara dan pembangunan maritim menuntut penyelarasan menyeluruh semua agensi yang terlibat dalam perbekalan dan perkhidmatan berkaitan.
 
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Terengganu, Ahmad Amzad Hashim setelah melakukan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Putrajaya, hari ini.
 
Beliau menemui Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som berikutan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifli Abu Bakar berada di Tanah Suci.
 
Secara khusus maklum Amzad, perbincangan tersebut berfokus kepada perairan Wilayah Timur yang menghadapi masalah pencerobohan nelayan Vietnam, sekali gus mengancam kesejahteraan nelayan tempatan.
 
“Semua agensi yang terlibat dalam mengawasi dan menguatkuasakan keseluruhan rantaian perbekalan dan perkhidmatan ke atas pencerobohan nelayan Vietnam ini dari berleluasa, perlu dibuat penyelarasan.
 
“Saya dapati isu ini bukan soal tanggungjawab APMM semata-mata. Undang-undang yang lemah atau tidak cukup juga perlu ditambah baik. Peruntukan belanjawan untuk menjayakan matlamat APMM perlu diberi secukupnya,” ujar beliau.
 
Beliau juga menyentuh keperluan membanteras pembekalan minyak di tengah laut kepada bot nelayan yang wujud daripada penyelewengan diesel subsidi dan juga pembelian ikan di tengah laut.
 
Begitu juga katanya, dalam tindakan mengurus giliran kemasukan dan pengeluaran kru bot, kerana berlaku mereka yang pernah ditangkap, dibicara dan dihukum masih terus bebas keluar masuk.

 
Isu sama pernah beberapa kali dibangkitkan termasuk kemampuan aset APMM yang kurang dan uzur untuk menghadapinya, malah Presiden PAS pernah mencadangkan penggunaan helikopter di perairan Wilayah Timur. – HARAKAHDAILY 22/4/2019
Advertisement