Jamin kekal Kontrak Sosial jika tadbir Putrajaya

TELUK INTAN: PAS akan terus mempraktikkan Kontrak Sosial dalam masyarakat majmuk di negara ini sekiranya berkuasa mentadbir Putrajaya kerana penting bagi keharmonian kaum supaya negara kekal aman.
 
Perkara tersebut dinyatakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab soalan pada sesi dialog sempena perasmian KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini semalam.
 
Kemuka beliau, persetujuan yang terkandung dalam Kontrak Sosial sejak sekian lama dilihat banyak membawa kebaikan kepada masyarakat di negara ini, selain telah membendung rusuhan kaum.
 
Bahkan katanya, PAS yakin Kontrak Sosial wajar dipraktikkan dalam masyarakat, berbanding mengambil tindakan menangkap mereka yang menentang dasar berkaitan tersebut diamalkan dalam negara.
 
Tegas beliau, semua kaum di Malaysia perlu diberi kesedaran mengenai Kontrak Sosial untuk dihayati dan bukannya melalui hukuman menangkap penentangnya di mana ia harus menjadi penyelesaian terakhir.
 
Kontrak Sosial merupakan persetujuan dicapai sebelum merdeka dalam kalangan pemimpin Umno, MCA dan MIC, antaranya kaum bukan Melayu diberi kewarganegaraan berdasarkan syarat tertentu.
 
Manakala kaum Melayu dan Bumiputera diberi perlindungan menerusi artikel diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan terutama berhubung segala hak dan keistimewaan mereka.
 
Hadir sama pada majlis ini ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Chek Nik dan Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Dato’ Azhar Jamaludin. – HARAKAHDAILY 22/4/2019
IMG 20190422 WA0021
 
IMG 20190422 WA0022
Advertisement