Ta’awun PAS-Umno formula terbaik negara – Ridhuan Tee

TANJUNG MALIM: Pendakwah, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah yakin Pemuda PAS Negeri Perak mampu pergi lebih jauh dengan meneroka dan mempelajari ilmu politik sepertimana ketokohan Presiden PAS.
 
Perakuan itu disebut beliau yang merupakan anak kelahiran Perak ketika menerima Anugerah Tokoh Pendakwah Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak di FELDA Residence Hot Spring, Sungkai, di sini kelmarin.
 
PAS juga katanya, diyakini mampu memperkuat dan memperjuangkan Islam dan Melayu sebagaimana beliau perhatikan kepada dua model pemerintahan PAS iaitu di Kelantan dan juga Terengganu.
 
“Saya dulunya ahli PAS sejak belajar ketika itu Ustaz Idris Ahmad adalah Presiden Persatuan Mahasiswa UKM dan saya Naibnya. Kemudian saya sertai MCA dengan tujuan beri kefahaman kepada mereka mengenai Islam.
 
“Saya mahu mengendurkan persepsi ‘masuk Melayu’ atau Islam itu untuk orang Melayu dan Arab sahaja. Namun, selepas itu saya keluar MCA apabila MCA begitu lantang menentang RUU355,” ujarnya mengakui kecewa ketika itu.
 
Dr Ridhuan juga berkata, ketika PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau sentiasa suarakan pandangan secara konsisten bahawa PAS tersilap langkah dan lantang menyatakan kerjasama PAS dan Umno adalah formula terbaik.
 
Beliau mempersoalkan PAS boleh berkawan dengan musuh, tetapi tidak dengan saudara sesama Islam, hinggalah akhirnya perkara disuarakan itu menjadi realiti juga pada masa kini.
 
“PAS telah dapat melihat siapa kawan, siapa lawan. Seburuk-buruk orang Islam, jika disebut nama Allah, insya-Allah bergetar hatinya. Tetapi belum tentu musuh Islam dan perancangannya untuk musnahkan Islam.
 
“Saya amat yakin kerjasama ini sebenarnya formula terbaik untuk kita martabatkan agama, bangsa dan negara. Penyatuan ini, insya-Allah negara akan lebih stabil dan keadilan untuk semua lebih terjamin,” ujarnya kagum dengan semangat Pemuda PAS. – HARAKAHDAILY 23/4/2019
Advertisement