Yakin Faisal pacu Pemuda menuju kemenangan

IPOH: Aspirasi anak muda untuk memartabatkan Islam memerintah negeri ini diyakini dapat dipacu di bawah teraju Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Fuad yang baru ditaklifkan bagi sesi 2019-2021.

Advertisement

Malah, gemblengan tenaga anak muda lebih dahulu dibuktikan ketika Faisal selaku Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Perak sesi lalu melakar kemenangan di dua kerusi Dun yang ditandingi calon Pemuda.

Iaitu Dun Selama dimenangi Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Perak sesi lalu dan Ustaz Khalil Yahaya di Dun Kubu Gajah, selain membantu mengekalkan kemenangan di Dun Gunung Semanggol.

Gunung Semanggol kini diwakili Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang sebelum itu juga diwakili Almarhum Ustaz Mohammad Zawawi Hassan iaitu Ketua Pemuda PAS Perak sesi 2009-2013.

Perkara tersebut dikongsikan Yang DiPertua Ipoh Timur, Ustaz Azmi Murad Mohd Yusof mengenai Ustaz Ahmad Faisal yang merupakan anak buah kawasannya selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Ipoh Timur.

Katanya, Faisal telah menimba pengalaman selama 15 tahun bersama PAS Ipoh Timur dan yakin mandat diperolehinya pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak Kali Ke-36 mampu digalas.

Terang Ustaz Azmi, bersama juga pengalaman Faisal di peringkat negeri diadun ilmu dimiliki, beliau pasti anak muda itu mampu membawa langkah Pemuda PAS Perak merungkai segala cabaran.

“Pencapaian beliau telah terbukti di Kawasan dan Negeri. Beliau juga diakui dan diiktiraf khususnya penglibatan beliau selaku Setiausaha Lajnah Tarbiah PAS Perak.

“Kemampuan ada pada beliau diyakini akan memacu gerakan Pemuda PAS Perak mendukung agenda Wa’tasimu yang telah mereka angkat pada muktamar kelmarin.

“Dengan ketegasan dan kelantangannya, saya yakin beliau akan jadikan Pemuda Perak selaku tenaga penting mendukung cita-cita PAS dan mencapai sasaran memerintah negeri, insya-Allah,” ujarnya.

Ustaz Azmi turut merakamkan tahniah kepada Ustaz Faisal yang juga baru menerima cahaya mata keenam dan berharap Pemuda PAS Perak terus mara mendepani cabaran siasah pada masa kini. – HARAKAHDAILY 23/4/2019