LGBT perlu dirawat bukan diiktiraf

TINDAKAN Nu’man Afifi yang menyerang program dakwah Mukhayyam yang dianjurkan oleh JAKIM kepada golongan LGBT seolah-olah membiarkan golongan tersebut semakin berisiko.

Advertisement

Program ini amat penting kepada golongan ini mendapatkan ilmu agama sebagai rawatan utama bagi mengatasi kecenderungan mereka kepada sesama jantina. Program ini juga terbukti meninggalkan kesan yang mendalam apabila beribu alumni Mukhayyam masih terus menyertainya setiap tahun.

Namun begitu, tindakan Nu’man Afifi yang mendakwa program tersebut sebagai salah satu ‘violence’ dalam ucapannya pada Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dilihat menghalang golongan LGBT mendapatkan didikan agama. Malah tindakan tersebut juga memalukan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas menyebarkan ilmu agama kepada semua rakyat.

Dakwaan tersebut dilihat sebagai salah satu langkah untuk menyekat golongan ini daripada dirawat malah ia juga dilihat sebagai salah satu langkah untuk terus mengiktiraf perjuangan ideologi seksualiti merdeka. Oleh itu, kerajaan seharusnya lebih serius dalam membendung penyebaran ideologi songsang seperti ini.

Tindakan kerajaan yang hanya membisu selepas penahanan beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan haram LGBT baru-baru ini jelas menunjukkan kerajaan masih lagi tidak serius dalam menangani isu ini. Lebih malang lagi, jika kerajaan terus membisu, tidak mustahil ideologi songsang ini dapat diterima umum pada masa hadapan.

Justeru itu, inisiatif JAKIM dengan menyediakan program Mukhayyam sepatutnya disokong oleh semua pihak agar mereka dapat dipulihkan melalui ruang lingkup agama sekali gus mampu menyekat fahaman ini dari terus membarah.

Saya percaya konsep rahmatan lil alamin yang dibawa oleh kerajaan dalam memerangi isu LGBT dapat menyelamatkan golongan tersebut daripada terus melakukan kesalahan namun saya ingin tegaskan agar kelembutan yang ingin diketengahkan tidak membuka ruang kepada golongan ini terus-menerus menyebarkan ideologi mereka kepada masyarakat.

Islam Memimpin”

YB SENATOR NURIDAH MOHD SALLEH
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 24/4/2019