Pemuda PAS-Umno Tambun perkukuh gerak kerja

IPOH: Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun telah mengadakan pertemuan bersama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tambun yany diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru, di sini, semalam.
 
Ianya menjadi sejarah bagi kedua pihak dalam merealisasikan agenda perpaduan ummah dalam semangat penuh harmoni yang turut diselang-seli dengan kenangan ‘pertembungan’ selama ini antara mereka.
 
Ketua Pemuda Umno Tambun, Faridzul Azlan dalam ucapannya menekankan tiga prinsip iaitu ikhlas, percaya dan jujur yang akan menjayakan kerjasama di mana pasti memberi manfaat seluruhnya.
 
Beliau turut melontarkan keyakinan bahawa anak muda hari ini sebenarnya telah kembali menaruh harapan kepada PAS dan Umno untuk mengatasi pelbagai isu dan saling melengkapi menjayakan agenda rakyat.
 
Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri pula mencadangkan agar kempen daftar pemilih bagi pengundi baharu dipergiatkan, selain mensinergikan kerja bersama ke arah mencipta kemenangan.
 
Kedua-dua pihak juga menyatakan kesediaan berganding bahu menjayakan tindakan bersama khususnya di bulan Ramadan yang menghampiri tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 26/4/2019
Advertisement