Kaji semula pembubaran pasukan khas PDRM

PEMBUBARAN pasukan siasatan khas PDRM iaitu STAFOC, STAGG dan STING sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula PRDM perlu dikaji semula keputusannya oleh Kerajaan. Pasukan elit berkenaan telah berbukti keberkesanannya sejak ditubuhkan dalam membanteras jenayah terancang, kongsi gelap, penyeludupan serta pemprosesan dadah.

Advertisement

KhalilHadiPembubaran pasukan elit tersebut yang dirasakan keputusan yang tidak tepat serta tidak kena pada masanya berikutan masih terdapat lagi kegiatan kongsi gelap, jenayah terancang, penyeludupan serta memproses dadah yang agak membimbangkan walaupun masih terkawal dan banyak yang telah berjaya dibanteras oleh PDRM.

Semenjak penubuhan pasukan elit khas terbabit, secara umumnya boleh dilihat kejayaan pasukan terbabit di dalam operasi mereka dalam membanteras kegiatan jenayah di seluruh negara. Banyak kegiatan kongsi gelap dan jenayah terancang ditumpaskan serta aktiviti pemprosesan dan penyeludupan dadah ditewaskan dengan rampasan mencapai jumlah yang cukup besar hingga mencecah puluhan juta ringgit.

Dengan banyak kejayaan yang diperolehi oleh pasukan elit khas ini sejak penubuhannya, adalah lebih wajar mengekalkan pasukan-pasukan tersebut daripada membubarkannya. Adalah menjadi kebiasaan pembubaran sesebuah pasukan jika ianya tidak berkesan, tidak efektif atau tidak mencapai objektif penubuhannya namun membubarkan pasukan yang berjaya dan cukup berwibawa adalah keputusan yang tidak tepat malah cukup meragukan.

Kita tidak mahu Kerajaan membubarkannya tanpa kajian yang menyeluruh dan mendalam serta sebab yang munasabah. Kita juga tidak mahu Kerajaan tunduk pada tekanan mana-mana pihak dalam menyelia urus tadbir PDRM. Mungkin masih terdapat kelemahan dalam PDRM namun ia boleh diperbaiki dan di atasi kelemahan tersebut.

Walaupun PDRM sedang melalui fasa penstrukturan semula, adalah lebih baik mengekal pasukan elit khas yang terbukti keberkesanannya daripada membubarkannya.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 28/4/2019