Apa lagi DAP mahu sebenarnya?

KHALIL3

APABILA Senator Nga Hock Cheh daripada DAP mencadangkan agar digugurkan perkataan agama daripada kad pengenalan, ia seperti beliau langsung tidak prihatin dengan sensitiviti rakyat negara ini dengan membangkitkan isu yang begitu sensitif.

Advertisement

Ia satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, tidak prihatin serta tidak peka dengan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan. Kenyataan sebegitu sememangnya akan membangkitkan kemarahan orang ramai malah beliau dilihat seperti cuba menguji tahap kesabaran masyarakat.

Tidakkah beliau sebagai seorang peguam dan ahli politik tahu isu sebegini cukup sensitif, boleh mendatangkan kesan negatif serta memudaratkan masyarakat jika tidak ditangani dengan cermat dan bertanggungjawab? Untuk apa beliau membangkitkan isu sebegini? Ternyata dengan membangkitkan isu ini, beliau sengaja menimbulkan kemarahan orang ramai dan berniat jahat.

Lebih memburukkan keadaan, beliau juga mencadangkan agar dibuka kedutaan di Israel? Apakah beliau sedar Israel adalah negara penjajah yang langsung tidak mematuhi undang-undang antarabangsa? Apakah beliau tidak sedar Israel menzalimi, menindas, menghalau rakyat Palestin dari rumah dan tanah air mereka sendiri?

Apakah beliau tidak sedar Israel seribu kali lebih teruk dari apartheid yang telah hapus di Afrika Selatan? Apakah beliau tidak sedar ketika Israel mengajak satu dunia memperingati ‘Holocaust’ kerana kezaliman Hitler dan Nazi ke atas orang Yahudi? Israel sebenarnya sejuta kali lebih zalim daripada Hitler dan Nazi malah perbuatan mereka ke atas rakyat Palestin lebih zalim dan keji dari peristiwa ‘Holocaust’.

Apakah Nga Hock Cheh menyokong Israel maka disebabkan itu beliau mencadangkan agar dibuka kedutaan di Israel? Apakah beliau menyokong pengganas Israel yang menjajah, membunuh, melanggar undang-undang malah menghalau rakyat Palestin keluar dari rumah dan negaranya sendiri?

Semenjak DAP menjadi sebahagian daripada Kerajaan dan parti komponen dalam PH yang memenangi PRU14 yang lalu, kita boleh lihat banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan mereka yang mencetuskan kontroversi. Apa lagi yang DAP mahu sebenarnya, tidak cukup lagikah permainan politik yang kotor dan keji sebegini dimainkan ?

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 29/4/2019