Tambun perkasa peranan ulamak dan asatizah

IPOH: Ulamak tidak harus terperangkap dalam isu-isu khilafiyah secara tidak terkawal hingga boleh menjadi penyebab mengelirukan minda orang ramai yang ingin mendekati Islam.

Advertisement

Malah, selaku qiyadah dan memiliki sifat ulamak, perlu memelihara kekuatan kesatuan dengan mendampingi dan membaca al-Quran serta sentiasa berdisiplin terhadap ilmunya.

Demikian pesanan dititipkan Pemangku Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria pada Majlis Tajlimat Khas dan Mahabbah Asatizah PAS Kawasan Tambun di Bandar Meru Raya, di sini semalam.

Himpunan tersebut bertujuan menyuntik komitmen golongan tersebut selaku tenaga penting dan menjadi teladan ramai dalam mendukung agenda perjuangan PAS.

“Perlu diambil perhatian kerana ulamak telah menjadi tempat rujukan khas oleh pemerintah sejak berzaman lalu dan kita juga menyaksikan punca kejatuhan sesuatu kerajaan itu kerana perpecahan dalam kalangan ulamak,” ujarnya.

Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said mengingatkan agar golongan tersebut memahami manhaj perjuangan PAS dan berusaha menanam kefahaman berkenaan kepada ahli-ahli lain.

Katanya, ahli juga mesti diyakinkan dengan strategi kepimpinan bagi kemenangan Islam di mana beriring bersama rahsia yang mempunyai kapasiti untuk diketahui secara tertentu sahaja. – HARAKAHDAILY 29/4/2019