3 nama isi Lembaga Pengarah Kada

PASIR PUTEH: Kerajaan negeri menyenaraikan tiga nama bagi memenuhi pelantikan ahli lembaga pengarah di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) selaras Akta Kada 1972.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lepas.

Katanya, tiga nama terbabit iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, anggota Exco Mejar Dato’ Md Anizam Abd Rahman dan beliau sendiri selaku Exco Pertanian.

Bagaimanapun katanya, setakat ini kerajaan negeri belum lagi menerima surat tawaran pelantikan daripada pihak terbabit.

“Tetapi kita buat keputusan dalam majlis mesyuarat Exco minggu lalu untuk menghantar tiga nama kepada kementerian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahudin Ayub sebelum ini mencadangkan untuk melantik seorang wakil negeri sebagai ahli lembaga pengarah Kada selaras Akta Kada 1975. – HARAKAHDAILY 30/4/2019