Antara membangun dan menghamba insan

SEBAGAIMANA yang kita ketahui, tentera Sultan Soleh (Sultan Najmuddin Ayyub) merupakan golongan hamba yang dijual di pasar Nuhas (Turki). Mereka yang melarikan diri dan terselamat daripada serangan Monggol dijual di situ kepada pihak Istana termasuklah Istana di Mesir. 
 
Sultan Soleh tidak memperlakukan hamba-hamba yang dibeli sebagaimana Raja lain memperlakukan seumpama Tuan dengan budaknya. Bahkan baginda amat mencintai mereka dan melayan mereka seumpama guru dengan murid, bahkan seakan si ayah dengan anak-anaknya. 
 
Bagaimana Sultan Soleh mendidik mereka?
 
Fasa pertama
Sultan akan membeli hamba dalam kalangan usia mereka masih kanak-kanak. Sejak dari mereka kecil hingga baligh ini akan ditempatkan di tempat yang dibina khas seakan asrama untuk mereka. 
Didikan awal kepada mereka adalah Al Quran dan pengetahuan agama. Para Ulamak silih berganti dijemput ke istana untuk mengajar mereka Al Quran, solat, bahasa Arab, menulis dan segala asas yang berkaitan.
Begitu juga Sultan menititk beratkan soal permainan yang diminati untuk mengesan bakat terpendam.
Solat fardhu amat dijaga supaya solat pada awal waktu, diajarkan doa-doa yang ma`thur dan akhlak yang mulia.
Para Ulamak amat disarankan untuk menekankan persoalan keimanan, pergantungan dengan Allah, hakikat penciptaan, keperibadian sebagai hamba Allah dan balasan syurga atau neraka.
 
Fasa kedua
Selepas baligh, mereka akan mula belajar seni berperang dan persenjataan, menunggang kuda dan memanah.
Pada fasa ini, disiplin menjadi semakin ketat. Kesalahan dan sikap yang menyimpang akan dikenakan tindakan yang tegas.
Untuk memastikan latihan menepati piawaian, mereka dibahagikan kepada kelompok-kelompok mengikut kepakaran guru masing-masing.
Walaupun fasa ini diketatkan, namun mereka juga diberi kebebasan untuk mengisi masa dengan aktiviti yang disukai samada dalam aspek permainan, keagamaan, sastera dan lain-lain.
Dalam fasa inilah yang menjadi elemen utama dan terpenting yang menjadikan mereka tentera dan panglima yang handal dan bertaqwa.
 
Fasa ketiga
Disebut sebagai fasa praktikal. Segala apa yang mereka pelajari akan diuji dalam tempoh ini.  Bahkan mereka mula dihantar untuk bertempur di medan peperangan.
Sultan melihat mereka yang berpotensi tinggi, akan dimerdekakan dan diposisikan pada kedudukan yang sesuai. Manakala yang belum kompeten akan terus berada dalam pantauan dan diberi posisi secara dalaman.
 
Sistem Graduasi
Apabila mereka telah tamat latihan, mereka akan dimerdekakan secara beramai-ramai yang turut dihadiri oleh Sultan.
Mereka akan diberi ijazah bersama beberapa keperluan asas seperti senjata, kuda, pakaian dan turut diberikan sebidang tanah.
Mereka yang telah bergraduasi, akan diletakkan dalam satu kumpulan bersama seorang ketua untuk dipantau. Bahkan mereka perlu menyambung pelajaran lagi untuk membolehkan mereka berada pada posisi penting kerajaan dan istana.
 
Bahasa pertuturan
Bahasa yang digunakan dalam perbualan seharian adalah bahasa Turki, bercampur dengan bahasa Parsi dan bahasa Arab.
Namun begitu, boleh dikatakan hampir tidak ada dalam kalangan mereka yang tidak mahir berbahasa Arab.
 
Inilah elemen yang semakin hilang bahkan ditiadakan dalam latihan ketenteraan. Perajurit selayaknya diluruskan pegangan akidahnya terlebih dahulu dan ajaran ilmu Islam yang mencukupi sebelum diajarkan seni peperangan dan ketenteraan.
 
Carl Brockelman, seorang sarjana Barat dri German menyebutkan:
“Muncullah generasi berikutnya pada era Baybrus (merujuk kepada salah seorang panglima tentera Mamalik didikan Sultan Soleh) yang mirip dengan generasi Khulafak Ar Rashidin dan Sultan Salahuddin Al Ayyubi yang merupakan generasi emas dalam Islam.”
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 1/5/2019
Advertisement