Asal minta maaf sahaja, Melayu mudah lupakan

SATU lagi rekod pusingan U dicatatkan oleh pemimpin PH semalam menerusi permohonan maaf oleh Senator Nga Hock Cheh yang sebelum ini mencadangkan agar kerajaan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
 
Nampaknya era Malaysia Baharu juga menyaksikan suburnya demokrasi ala pusingan U yang menyaksikan pelbagai cadangan dan kenyataan kontroversi dibuat oleh pemimpin PH.
 
Bagaimanapun, selepas dikecam bertubi-tubi kemudiannya mereka cenderung menarik balik kenyataan lalu memohon maaf, seolah-olah perkataan maaf itu adalah senjata paling ampuh untuk menutup mulut rakyat.
 
Entah apa rasionalnya cadangan untuk Kerajaan Malaysia membuka kedutaan di Israel sedangkan sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj lagi dasar Malaysia terhadap Israel adalah jelas dan paling konsisten.
 
Malaysia tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan diplomatik atau perdagangan dengan Israel memandangkan kewujudan negara itu sejak 1947 tidak diiktiraf Malaysia.
 
Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat pernah menulis surat kepada tiga Perdana Menteri Israel iaitu Yitzhak Rabin, Benyamin Nentanyahu dan Ehud Barak.
 
Ketiga-tiga surat yang diutus Dr Mahathir memaparkan pendirian Malaysia yang jelas terhadap Israel di mana Dr Mahathir di dalam surat-suratnya menekankan betapa perlunya Israel mengambil langkah ke arah kedamaian.
 
Pendirian Dr Mahathir terhadap Israel juga tidak berubah walaupun ketika ini beliau menjadi Perdana Menteri pada era PH.
 
Dr Mahathir ketika diwawancara BBC semasa melakukan lawatan ke United Kingdom (UK) pada Januari lalu, dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak peduli jika dilabelkan sebagai anti-semitik kerana kelantangannya mengkritik Israel.
 
Rakyat negara ini yang majoritinya beragama Islam amat sensitif dengan isu melibatkan Israel-Palestin dan sewajarnya isu-isu seperti ini tidak dibangkitkan terutama di dalam sidang Dewan Negara.
 
Banyak lagi isu-isu perpaduan yang semakin rapuh dalam kalangan masyarakat perlu dibangkitkan selain daripada cadangan untuk membuka kedutaan di Israel.
 
Membina kedutaan di Israel seolah-olah mengiktiraf kewujudan negara haram itu yang dibina daripada darah rakyat Palestin.
 
Dengan apa yang berlaku pada masa ini, mungkin himpunan seperti Program Himpunan Rakyat Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan Negara yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang diadakan pada Sabtu ini di Kuala Lumpur perlu dijadikan acara wajib.
 
Himpunan seperti ini adalah sebagai peringatan kepada mereka yang mungkin terlupa bahawa majoriti rakyat negara ini adalah beragama Islam dan merupakan saudara kepada rakyat Palestin. (Dipetik dari UTUSAN ONLINE) – HARAKAHDAILY 1/5/2019
20190501 181729
 
Advertisement