Bila jadi kerajaan, parti sepatutnya lebih kuat

KUALA TERENGGANU: “Sama ada kita menang atau kalah, proses tarbiah mesti dibuat.”

Advertisement

Itulah penegasan dari Haji Yahaya Ali, Timbalan Pesuruhjaya PAS (3) Terengganu yang juga Speaker Dun Terengganu ketika merasmikan Ijtimak Nuqaba PAS Terengganu di Markaz Tarbiah Kuala Ibai, pagi tadi.

‘Hari ini 1 Mei 2019, yang bermakna hampir setahun PAS membentuk kerajaan negeri Terengganu. Pendapat umum mengatakan kerajaan Terengganu baik, berjaya meyakinkan rakyat dalam mengurus tanggungjawab dengan profesional dan meyakinkan, termasuklah dalam menunaikan janji manifesto. Ini apa yang orang lain kata, terpulang kepada kita menerima atau tidak,” ujarnya.

Katanya, menjadi kerajaan bukan mudah.

“Tiga, empat bulan pertama mungkin boleh berbulan madu. Lepas itu akan timbul pelbagai perkara.

“Kita tidak sempurna, tentu ada loophole (lompang) yang boleh dicari kalau diperincikan. Tetapi kita mesti bergerak ke hadapan. Jangan terpesona dengan pujian orang. Pegang dengan kata-kata Nabi yang bermakna ‘Allah mengasihi seseorang yang apabila dia membuat kerja, dia membuat dengan tekun,” ujarnya.

Menurutnya, moto Kerajaan Terengganu sekarang ialah ‘Maju, Berkat, Sejahtera’ yang bukan hanya sekadar moto, tetapi penghayatan terhadap moto tersebut, juga apa yang diingini oleh rakyat.

“Kekuatan untuk membina kerajaan datang dari kekuatan tarbiah, bermula secara peribadi dengan segala pengorbanan, mengambil masa 15 tahun selepas kita kalah pada 2004.

“Dalam tempoh 15 tahun, ramai tokoh yang telah meninggal dunia: Dato’ Harun Taib, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Awang Nasrudin (yang kesemuanya adalah tunggak tarbiah dan kepimpinan). Sebagai satu bentuk muhasabahnya, adakah kita mahu menjadi kerajaan sepenggal seperti yang telah berlaku atau tidak?

“Bila jadi kerajaan, parti sepatutnya mesti menjadi lebih kuat. Pengalaman kalah tahun 2004 sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran untuk kita beranjak lebih baik.

“Matlamat kita ialah mengumpulkan 1,000 orang nuqaba bagi peringkat negeri Terengganu,” ujarnya lagi

Tambahnya, hasrat besar itu perlu kepada kerja berterusan dengan ciri-ciri jundullah.

Katanya, perlu ada mekanisma untuk mencapai matlamat ini dan perlu ada peningkatan kepada para nuqaba.

“Dalam keadaan menang ini, perlu ada sikap tasamuh, berlapang dada kerana banyak isu yang perlu ditangani dengan cara yang baik,” katanya.

Katanya lagi, tarbiah sangat penting supaya ketenangan sebenar dapat dicapai dalam jemaah yang membantu mengukuhkan kerajaan dan mengurangkan masalah dalaman, supaya masalah luaran dapat dihadapi dengan baik.

Ijtimak dihadiri sama oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, kepimpinan PAS peringkat negeri, para nuqaba dan naqibat dari semua kawasan. – HARAKAHDAILY 1/5/2019