Mahu martabat agenda pendidikan Islam di Johor

KULAI: Selangkah menjayakan lagi peranan dan usahanya dalam pembangunan insan khususnya menerusi pendidikan, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor tekad membina Kompleks Pendidikan Al-Hikmah (KOMPAH) di Kampung Ayer Manis, Sedenak, di sini
 
Kini, tanah berkeluasan 3 ekar yang asalnya merupakan kebun kelapa sawit milik seorang pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam itu, sedang giat dibina mengikut pelan dirancang setelah ia diwakafkan agar tercapai cita-cita mendirikan kompleks pendidikan milik ummah.
 
Gerak kerja pembinaannya dipantau sendiri Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Juwahir Amin yang mendapat nasihat daripada pengalaman Mudir Maahad Darus Saadah, Ustaz Mohamad Fauzi Husin dari Kedah dan Mudir Maahad Tahfiz Imam Nawawi (MATIN), Ustaz Yusainee Yahaya dari Perlis.
 
Antara akan beroperasi di kompleks ini nanti adalah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Hikmah, selain sesi pengajian kitab dan dakwah untuk masyarakat awam, juga sebagai tempat latihan Guru PASTI, tamrin dan juga aktiviti kebajikan masyarakat setempat terutamanya.
 
Mengulas perkembangan usaha pendidikan khususnya melalui wadah PAS, Setiausaha Pemuda PAS Johor, Ustaz Abdul Hadi Harun berkata, SRITI telah mula beroperasi negeri Selatan Tanah Air itu pada tahun 2016 dan setahun berikutnya berkembang di Kawasan Ayer Hitam, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
 
Seterusnya ujar beliau, pada tahun 2018 bertambah enam lagi iaitu di Seri Gading, Muar, Kluang, Simpang Renggam, Pasir Gudang dan Kulai, manakala pada tahun ini dibuka lima lagi iaitu di Pulai, Mersing, Pontian, Tebrau dan Tenggara di mana kebanyakannya di bangunan rumah kedai yang disewa.
 
Menurut beliau, usaha untuk mewujudkan Kompleks Pendidikan Al-Hikmah sebenarnya lahir dari permintaan tinggi dari ibu bapa terhadap sekolah rendah Islam dan merealisasikannya secara sistem berpusat dan kokurikulum bersepadu, maka Pemuda PAS Johor gigih merealisasikannya.
 
Menurut Ustaz Abdul Hadi, pihaknya mensasarkan semua Dun dalam negeri itu memiliki sekurang-kurangnya satu SRITI, atas keyakinan memiliki tenaga kerja yang mampu menyokong operasi selain rekod pendaftaran juga menunjukkan peningkatan sekali ganda.
 
Para dermawan yang menyokong dan berminat menjayakan usaha ini bersama boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 5515 8406 0292 atas nama Jabatan SRITI Negeri Johor dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Ustaz Abdul Hadi sendiri di talian 011-1001 4176. – HARAKAHDAILY 1/5/2019
20190501 094809
 
20190501 094754
 
20190501 094740
Advertisement