Peranan nuqaba dalam mengisi kemenangan

TAJUK ‘Peranan Nuqaba Dalam Mengisi Kemenangan’ dipilih sebagai inti kepada Ijtimak Nuqaba PAS Terengganu kali ini sempena kemenangan kali ketiga di Terengganu. Ia disampaikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

‘Malam tadi kami bertemu pimpinan Kelantan dengan tajuk ‘Islam memimpin’. Isi lebih kurang sama dan hakikatnya ia tidak berbeza. Kita menempa sejarah selepas jatuhnya khilafah Uthmaniyah apabila parti-parti Islam menyambung kerja menegakkan Islam dengan wafatnya Nabi,” jelas Tuan Guru memulakan ucapan.

“Jatuhnya khilafah, tetapi Islam tidak mati, yang mati adalah pemimpin. Nabi yang paling besar pun wafat tetapi Islam tidak mati. Banyak parti dan golongan Islam berjuang. Pada tahun 1955, Parti Masyumi di Indonesia menang, campur dengan parti lain, tetapi tidak sampai satu penggal diharamkan. Di Algeria, FIS menang pilihanraya bandaran dengan 75 peratus, diharamkan. Di Turki, tidak dapat ditubuhkan parti Islam. Dikepung oleh sekularisme yang sangat tebal. Parti yang cuba tegakkan Islam di Turki dilumpuhkan. Hanya dakwah secara umum boleh dilaksanakan.

“Ada gerakan yang agak keras di negeri umat Islam yang lain. Kita memilih muwajah silmiyyah (berdepan dengan cara damai). Terengganu menang kali ketiga. Kita cuba mengisi kemenangan setakat yang kita mampu.

“Iran yang dianggap kuat tetapi ia tidak mendominasi keseluruhan umat Islam. Perlu ada kepimpinan sunni yang memimpin kemenangan ini,” tegas beliau.

Tuan Guru membacakan ayat 33-36 surah Fussilat sambil mengulas kandungannya. Antara tugas penting ialah memperkenalkan Islam secara terbuka (sedangkan di negara lain ia tidak dapat dibuat dengan sempurna)

“Dari sudut politik dan dakwah, tanggungjawab kita ialah mengajak orang bersama Islam, terutama selepas menang. Walaupun sibuk dengan urusan lain, jangan tinggal kerja mengajak kepada Islam.

“Orang dahulu merantau, bawa barang dagangan, niat sebarkan Islam. Barang dagangan untuk bina kekuatan. Kita terbalik, berniaga dahulu, Islam kemudian,” Tok Guru mengingatkan.

Tok Guru memberikan beberapa mutiara peringatan:

”’Peranan nuqaba ialah untuk bina kader dakwah. Tidak sama dengan pengajar. Bukan hanya ilmu tetapi tarbiah. Sediakan jentera parti untuk berhujah dengan baik. Letak orang kena pada tempatnya. Gunakan bahasa yang mudah difahami. Baca akhbar, walaupun akhbar musuh. Khidmat terhadap orang lain sangat penting, untuk mengajak manusia kepada Islam. Menjadi model, contoh yang baik kepada orang.

“Rahsia Islam ialah mewujudkan kerajaan yang bersih. Dua prinsip dan dua konsep mesti ada. Prinsip aqidah beriman kepada Allah dan hari akhirat sangat penting. Konsep taqwa, dan adil untuk semua.

“Beriman kepada Allah menyebabkan manusia sedar dia berada di bawah kekuasaan Allah sahaja. Beriman kepada hari akhirat mengajar kita tentang adanya pembalasan.

“Kepimpinan umat Islam silih berganti, bukan sahaja Arab tetapi yang lain. Yang penting ia dipimpin oleh mereka yang bertaqwa.

“Bila jatuh Rom dan Parsi, kerajaan Parsi menghantar utusan kepada Cina memohon bantuan. Cina tanya kamu kuat kenapa tak lawan. Mereka jawab umat Islam sangat adil. (Lalu Raja Cina menjawab dengan jawapan yang menunjukkan bahawa Islam benar),” hurai beliau lagi.

“Jadikan rakyat sebagai pemerhati dan penasihat kepada kerajaan, bukan sebagai pengampu. Tegakkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat.

“Kerajaan Islam menyediakan ruang untuk membina peribadi yang baik. Mesti bina kerajaan yang bersih. Peristiwa Perang Uhud ajar kita banyak perkara, yang kejar dunia, yang kejar akhirat. Ayat Quran dan hadis yang sangat banyak mengingatkan kita supaya tidak mengejar dunia semata-mata,” nasihat beliau.

Tok Guru mengingatkan: “Perlu ditarbiah menurut acuan yang dilalui oleh para sahabat seperti Khalid Al-Walid, Ala alHadrami dan lain-lain yang pernah berkhidmat untuk Islam, kemudian dipecat dengan sebab tertentu tetapi tidak meninggalkan perjuangan”. – HARAKAHDAILY 2/5/2019

Intisari ucapan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Ijtimak Nuqaba PAS Terengganu pada 1 Mei 2019.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu.

nq2