Hari pertama Karnival Bkt Payong dibanjiri hadirin

MARANG: Sistem pendaftaran kehadiran bagi cabutan bertuah mencatatkan kira-kira 3,000 pengunjung hadir ke Karnival Bukit Payong Sejahtera pada hari pertama dilangsungkan di sini kelmarin.
 
Walaupun karnival belum dibuka secara rasmi, tetapi pengunjung tetap teruja untuk melihat sendiri acara-acara permulaan yang telah disediakan penganjur bagi memeriahkan suasana karnival.
 
Ia sekali gus mencapai sasaran dan hasrat penganjuran karnival ini iaitu untuk memberi penerangan kepada rakyat, selain juga turut memberikan keuntungan bagi para penduduk yang berniaga.
 
Beberapa aktiviti bagi karnival ini telah dijalankan dengan acara yang paling dinantikan kelmarin, antaranya berbasikal santai diketuai oleh Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah bersama dua ahli pasukan berbasikal Terengganu (TSG).
 
Zamri Salleh ketua pasukan TSG dan Hariff Salleh juara peringkat kedua LTd Langkawi, bersama Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Ustaz Soud Said, hadir memeriahkan lagi karnival.
 
Kayuhan santai sejauh kira-kira 11 kilometer itu berjaya ditamatkan dalam masa lebih kurang satu jam melalui sebahagian besar kawasan Dun Bukit Payong.
 
Sebelum itu, pada sebelah pagi, berlangsung sukan antara pelajar, guru-guru dan ibu bapa PASTI selain daripada jualan gerai-gerai serta beberapa pameran oleh agensi kerajaan, manakala persembahan nasyid dan dikir barat pada sebelah malam.
 
Pihak urusetia menjangkakan semalam dan hari ini, akan lebih ramai pengunjung yang datang mendaftarkan diri kerana pada malam ini dan seterusnya, acara akan menjadi lebih menarik, selain tarikan cabutan bertuah dengan hadiah yang lumayan.
 
Selepas acara perasmian semalam, pada sebelah malam pula pengunjung dihidangkan dengan ceramah agama oleh Ustaz Hazlin Bollywood bersama pelawak terkenal, Saiful Apek. – HARAKAHDAILY 3/5/2019
IMG 20190503 WA0036
Advertisement