Tema animasi tarikan Sukaneka PASTI Kalabakan

KALABAKAN: Sukaneka PASTI Pra Tahfiz Kawasan Kalabakan menampilkan pelbagai watak animasi sebagai tema kejohanan yang diadakam di Padang Perbandaran Tawau, di sini kelmarin.
 
Antara watak animasi terkenal dunia yang menjadi pilihan kontinjen ialah Captain America, Minnie Mouse, Sponge Bob, Batman, Frozen, Boboiboy dan Upin Ipin di mana diperagakan semasa perarakan perbarisan. 
 
Pengarah Program, Ustaz Shafik Salehudin menyatakan bahawa sebanyak lapan PASTI di daerah Kalabakan telah menyertai sukaneka pada kali ini yang merupakan sambutan kali ke-5.
 
Tambahnya, pihak pengurusan PASTI menitikberatkan kesihatan fizikal dalam kalangan murid selain mementingkan ilmu agama dalam pembelajaran.
 
Selain itu, Ketua Pemuda PAS Tawau, Ustaz Rusli Hasani dalam ucapan ketika merasmikan kejohanan menyebut bahawa perlunya ibu bapa bersama memberi galakkan kepada anak-anak dan keluarga agar aktif bersukan walau di mana berada. 
 
“Bila aktif bersukan, ia akan membantu ahli keluarga dapat beribadat dengan baik bila mempunyai tubuh badan yang sihat,” jelasnya.
 
Sebanyak 16 acara menarik telah dipertandingkan termasuklah acara isi air dalam botol, lari ikat kaki berpasangan, lari berganti-ganti dan cari gula-gula dalam timbunan kertas.
 
Temasya turut diceriakan dengan penyertaan ibu bapa dalam acara khas untuk ibubapa dan guru iaitu lari ikat kaki bagi kaum ibu dan lari mengundur berganti-ganti bagi kaum bapa.
 
Juara Keseluruhan dinobatkan kepada PASTI Al-Amin, Pasir Putih, manakala Naib Juara disandang PASTI Al-Ikhwan, Semarak dan acara perbarisan dimenangi PASTI Al-Hakim, Taman Ria 9 yang membawa tema animasi Minions. – HARAKAHDAILY 3/5/2019
IMG 20190503 WA0012
 
IMG 20190503 WA0004
Advertisement