Nafsu besar PH mahu pinda Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Nafsu besar PH terserlah apabila cuba membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan walaupun hanya mempunyai majoriti mudah kedudukan kerusi di Dewan Rakyat.
 
Peguam Aktivis, Mohamad Zubair Embong berkata, hari ini kedudukan Islam dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera termasuk Raja-raja Melayu sedang cuba dicabar.
 
Perkara kritikal tersebut disuarakan beliau ketika berpidato pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Kongres Rakyat di sini hari ini.
 
“Antaranya Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan persetujuan dua pertiga Ahli Parlimen. Harus diingat juga Perkara 159(4) menyatakan urusan meminda Perlembagaan perlu persetujuan Raja-raja.
 
“Maka kita lihat kemuliaan Raja-raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong diserang, cerita dibongkar, dibuat-buat dan diada-adakan untuk jatuhkan kehormatan,” ujarnya menyeru Raja-raja Melayu sebagai benteng Perlembagaan dan Islam dipertahankan.
 
Beliau yakin bahawa Statut Rom ditandatangani sebelum ini adalah satu intimidasi atau ugutan kepada Raja-raja supaya jangan berani memperlahankan langkah kerajaan meminda Perlembagaan.
 
Katanya, PH mahu membuat Raja-raja tunduk dan menerima pindaan yang mahu diadakan, serta terus angkuh untuk merobek sistem serta Perlembagaan termasuk terus menekan Malaysia.
 
Beliau merujuk usaha dan kempen tersebut dilakukan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menghapus Perkara 11(4), termasuk akta berkaitan identiti Islam dalam kad pengenalan.
 
Terdahulu, beliau juga menyatakan dua versi yang sedang ditunjukkan dari perbicaraan mahkamah mengenai kes kematian Pegawai Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.
 
Terang beliau, versi pertama menyatakan arwah mati kemalangan dilanggar kenderaan, manakala versi kedua adalah kerana dipukul di mana rakyat perlu menuntut supaya keadilan ditunaikan. – HARAKAHDAILY 4/5/2019
20190504 161355
Advertisement