Kemaskini Misi Kemanusiaan Gaza PASRelief

IMG 20190405 WA0035
ALHAMDULILLAH, PASRelief tiba di Kaherah pada 1 Mei 2019, dalam rangka melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin. Urusan perjalanan telah dilakukan sejak sebulan lalu melalui Wisma Putra bagi memenuhi kehendak pihak berkuasa Mesir dan Gaza.
 
Memandangkan prosedur keselamatan yang ketat, kebenaran pihak berkuasa Mesir untuk perjalanan ke sempadan Gaza di Rafah belum diperolehi sehingga pagi ini, 5 Mei 2019. PASRelief turut dibantu oleh Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM) dan Rabitah Ahli Parlimen Islam Antarabangsa. 
 
Sebaik tiba, PASRelief telah mengadakan pertemuan dengan pihak Kedutaan Malaysia di Mesir dan pemimpin kanan Kerajaan Palestin di Kaherah untuk meneroka usaha mendapat kelulusan segera. Kami dimaklumkan sempadan hanya akan dibuka semula pada 5 Mei nanti dan kami akan memasuki Gaza paling awal pada 6 Mei 2019.
 
Pihak kedutaan Malaysia dan wakil kerajaan Palestin telah membantu sedaya upaya untuk menjayakan misi ini.
 
Misi ini menerima tamparan besar semalam (4 Mei) apabila regim Israel melakukan serangan bom dan serangan udara ke wilayah Gaza  mensasarkan penempatan awam dan pejabat NGO antarabangsa membunuh 5 nyawa dan mencederakan lebih 50 orang awam setakat jam 5 pagi ini waktu Mesir. 
 
Serangan udara regim Israel kali ini turut memerangkap satu konvoi kemanusiaan antarabangsa yang memasuki Gaza pada 2 Mei lalu – Miles To Smiles- yang diketuai oleh sukarelawan dari United Kingdom yang turut disertai beberapa sukarelawan Malaysia daripada Pertubuhan Muslim Care Malaysia. 
 
Berdasarkan perkembangan semasa ini, atas faktor keselamatan yang bakal menambah kesukaran pihak Palestin untuk menerima kehadiran deligasi kita di sana nanti, PASRelief sedang mempertimbangkan untuk melakukan penyerahan sumbangan daripada PAS dan rakyat Malaysia yang dibawa pada kali ini di Kaherah.
 
Kita wajib mengambilkira kesukaran yang sedang mereka sedang hadapi untuk melindungi diri dan keluarga, dan kehadiran kita sebagai tetamu mereka akan menambah beban pula kepada mereka.
 
Berdasarkan pengesahan dari pihak Palestin, wakil mereka yang kini berada di Kaherah adalah pemimpin kanan yang paling dihormati oleh kalangan pemimpin kerajaan dan rakyat Palestin.
 
InsyaAllah, majlis penyerahan sumbangan PASRelief berjumlah RM250, 000.00 bersama sumbangan  daripada Yayasan Israk Malaysia berjumlah RM50,000.00 akan dilakukan pada 1 Ramadhan 1441/ 6 Mei 2019.
 
Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief
Ketua Misi Kemanusiaan Gaza 2019
Kaherah, Mesir
5 Mei 2019
6.30 pagi – HARAKAHDAILY 5/5/2019
 
 
Advertisement