PAS Pandan hargai dan rai Hari Bomba Sedunia

PANDAN: Ameerah Kawasan Pandan bersama entiti-entiti PAS Pandan yang lain iaitu Jabatan Amal dan Briged Muslimat telah meraikan Hari Bomba Sedunia dengan berkunjung ke Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, di sini.
 
Delegasi tersebut telah diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pandan, Zahriezan Jamaludin di mana telah disambut mesra Penyelia Balai Bomba Pandan Indah, Ameran Musa serta anggota bertugas, pagi tadi.
 
Lawatan tersebut dilakukan sebagai menzahirkan penghargaan di atas jasa seluruh anggota bomba yang sentiasa komited melaksanakan tugas dan operasi mencabar mereka demi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat tercapai.
 
Zahriezan berkata, walaupun PAS adalah parti politik, tetapi usahanya tidak hanya tertumpu pada agenda politik, bahkan juga sangat menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan, sosial dan lain-lain.
 
Hal tersebut jelasnya, seiring Budaya Politik Matang dan Sejahtera, selain mengukuhkan hubungan kemanusiaan persaudaraan masyarakat bagi mewujudkan kehidupan bertamadun, harmoni, aman dan maju.
 
Malah menurutnya, rakyat cukup terkesan dengan pengorbanan telah dibuktikan Pegawai Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim yang menuntut pembelaan seadilnya diberikan kepada arwah dan keluarganya.
 
“Kita berharap agar setiap rakyat menghargai jasa yang telah disumbangkan oleh semua anggota bomba seluruh Malaysia yang sentiasa bersedia mengorbankan diri mereka, semata-mata untuk keharmonian hidup kita,” ujarnya.
 
Pertemuan diakhiri dengan doa memohon keberkatan, kesejahteraan dan perlindungan buat semua anggota bomba atas kesediaan berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan demi memenuhi tugas dipertanggungjawabkan. – HARAKAHDAILY 5/5/2019
Advertisement