Hadiah 1 Ramadan daripada PH

shahir3

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Kedatangan Ramadan dan mendoakan seluruh rakyat Malaysia beragama Islam untuk sama-sama mencari keredhaan Allah di bulan yang mulia ini dengan menunaikan ibadat puasa serta amalan baik yang lain.

Advertisement

Di saat seluruh rakyat Malaysia menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keinsafan, segelintir rakyat ini juga dikejutkan dengan berita sedih apabila mereka kehilangan sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengecam kezaliman yang dilakukan terhadap pekerja di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan; Bio-xcell Malaysia, Felda Engineering Services dan Felda Properties.

Menyorot kembali Manifesto Pakatan Harapan (PH), selepas hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, antara iltizam pimpinan mereka adalah untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM2,500 kepada rakyat Malaysia.

Setakat ini, rakyat Malaysia masih ditipu dengan janji-janji kosong tersebut. Lebih parah apabila bukan sahaja tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan, bahkan mengurangkan pekerjaan sedia ada.

Bio-xcell merupakan syarikat usahasama antara Malaysian Bioeconomy Development Corporation dan UEM Sunrise Berhad. Malaysian Bioeconomy Development Corporation milik sepenuhnya Kementerian Kewangan Malaysia, manakala UEM di bawah Khazanah.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa YB Lim Guan Eng untuk memberikan penjelasan di atas arahan yang dikeluarkan untuk memberhentikan pekerja berkuatkuasa 24 jam.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menggesa penjelasan diberikan apabila 130 orang pekerja di Felda Engineering Services dan Felda Properies diberhentikan pekerjaan. Hal ini masih berlaku di saat syarikat-syarikat tersebut beroperasi lebih puluhan tahun dan membawa keuntungan kepada syarikat.

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
6 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 6/5/2019