Penyatuan penting agar umat tidak ditindas musuh

    TITIWANGSA: PAS Kawasan dan Umno Bahagian dalam Parlimen Titiwangsa telah bekerjasama menganjurkan Ceramah Penyatuan Ummah di Balai Babul Khairat PPR Perkasa, Cochrane, di sini kelmarin.
     
    Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Johari Abdul Ghani dalam ucapannya menyifatkan kesepakatan antara PAS dan Umno memberi manfaat besar kepada ummah khususnya Melayu dan Islam.
     
    Bidasnya, PH yang menerajui pemerintahan negara kini gagal melaksanakan janji sendiri, sekali gus menyebabkan para pengundi mereka pada PRU lalu merasa tertipu.
     
    Kemuncak ceramah disampaikan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh yang mengingatkan pentingnya kesatuan umat.
     
    Beliau mengajak hadirin mengambil iktibar perang antara Sunni dan Syiah di Syria yang akhirnya merugikan umat Islam sedangkan kuasa besar Amerika meraih keuntungan dari perbalahan itu.
     
    Begitu juga katanya, peristiwa pembedilan umat Islam di Palestin yang merupakan ‘jenayah al-Quds’ di mana menatijahkan permusuhan antara negara Arab, tetapi Israel berjaya mengisytiharkan Baitulmaqdis pusat pentadbirannya.
     
    Oleh itu serunya, Ramadan harus menjadi titik penting umat mengukuhkan kesatuan pada majlis turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad. – HARAKAHDAILY 6/5/2019
    IMG 20190506 WA0052
    Advertisement