Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (2)

قَيِّمٗا لِّيُنذِرَ بَأۡسٗا شَدِيدٗا مِّن لَّدُنۡهُ وَيُبَشِّرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرًا حَسَنٗا

Advertisement

“Al-Quran bersifat lurus bagi memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.”

مَّٰكِثِينَ فِيهِ أَبَدٗا

“Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.”

Penekanan utama ayat:

●     Istiqamah al-Quran

Perkataan قيم diterangkan sebagai مستقيم bermaksud lurus atau istiqamah di atas kebenaran. Itulah ciri-ciri utama al-Quran iaitu bersifat benar dalam segala yang dinyatakan, dan akan kekal benar walau apapun yang berlaku. 

Al-Quran adalah paksi istiqamah. Seorang yang mengaku istiqamah perlu berpegang dengan kebenaran yang dibawa oleh al-Quran. Kebersamaan kita dengan mana-mana pihak adalah bergantung kepada sejauh mana pihak tersebut istiqamah dengan ajaran al-Quran.

●     Memperbetulkan kesalahan terdahulu

Al-Quran juga turun dengan menggalas peranan islah iaitu memperbetulkan kesalahan yang berlaku sebelumnya yang disebut sebagai zaman Jahiliah. Secara khusus al-Quran memfokuskan kesesatan ajaran Musyrikin Arab, Kristian dan juga Yahudi. Walau bagaimanapun, ibrahnya boleh diambil bagi memperbetulkan kesalahan apa jua agama, falsafah dan ideologi lain merentas zaman.

●     Keutamaan menegah berbanding mengajak

Allah memulakan dengan لينذز iaitu memberi amaran berbanding يبشر iaitu memberi khabar gembira, bagi menunjukkan kepentingan menegah keburukan berbanding mengajak kebaikan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح  

“Menolak keburukan lebih diutamakan berbanding mendatangkan kebaikan.”

●     Percaya kuasa tuhan

Perkataan من لدنه bermaksud dari sisinya khusus merujuk segalanya adalah kuasa Allah S.W.T. Justeru itu ia mengajak supaya kita sentiasa merasa takut kepadaNya supaya perasaan tersebut boleh menjaga diri kita daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaanNya. Juga supaya kita tidak takut kepada selain daripada Allah yang cuba mengugut.

●     Keyakinan terhadap janji Allah

Antara sifat beriman adalah sentiasa optimis dengan janji tuhan. Rahsia umat terdahulu kekal istiqamah hingga ke akhir hayat adalah kerana mereka sentiasa menelaah al-Quran yang sarat dengan janji-janji syurga selain habuan dunia.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Antara fitnah Dajjal adalah mampu menawarkan janji materialistik sehingga boleh menyebabkan orang sanggup kufur dengan menjual agama mereka demi habuan dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا، يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

“Bersegeralah melakukan amal sebelum tibanya fitnah kekeliruan umpama malam yang gelap gelita yang boleh menyebabkan pagi beriman, petang kufur. Jika petang beriman, esok pagi kufur. Menjual agama dengan tawaran dunia.”

[HR Muslim]

Jalan untuk selamat daripada tipu daya Dajjal antaranya adalah sentiasa perbaharui niat kehidupan kita. Ingat bahawa tujuan utama tuhan ciptakan adalah untuk beribadat semata-mata. Firman Allah S.W.T:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

[Az-Zariyat: 56]

Matlamat kita adalah redha Allah di akhirat. Itulah kejayaan teragung sebagaimana firman Allah:

 رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدٗاۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ

“Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

[At-Tawbah:100]

Justeru hidup di dunia hanyalah ibarat laluan untuk ke akhirat. Hiduplah umpama kita akan mati esok hari, bukan selama-lamanya. Sabda Rasulullah S.A.W:

كُنْ في الدُّنْيا كأَنَّكَ غريبٌ، أَوْ عَابِرُ سبيلٍ

“Beradalah di dunia seumpama kamu orang asing (bukan tempat asal), atau sekadar pelintas jalan.”

[HR Bukhari]

Jadilah orang yang bijak sebagaimana sabda Baginda:

الكَيِّس مَنْ دَانَ نَفْسَهُ، وَعَمِلَ لِما بَعْدَ الْموْتِ، وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَه هَواهَا، وتمَنَّى عَلَى اللَّهِ

“Orang yang bijak adalah mereka yang sentiasa muhasabah diri dan beramal untuk hari selepas mati. Orang yang bodoh pula adalah mereka yang mengikut hawa nafsu namun berharap macam-macam dengan Allah.”

[HR Tirmizi]

InsyaAllah dengan matlamat yang jelas (the end in mind), hasutan fitnah Dajjal dan konco-konconya tak akan menggugat. Walaupun terpaksa berlapar dahaga. Sabda Rasulullah S.A.W:

وَإِنَّ قَبْلَ خُرُوجِ الدَّجَّالِ ثَلَاثَ سَنَوَاتٍ شِدَادٍ , يُصِيبُ النَّاسَ فِيهَا جُوعٌ شَدِيدٌ , يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الْأُولَى أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطَرِهَا , وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَ نَبَاتِهَا , ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِي الثَّانِيَةِ فَتَحْبِسُ ثُلُثَيْ مَطَرِهَا , وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَيْ نَبَاتِهَا , ثُمَّ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّالِثَةِ فَتَحْبِسُ مَطَرَهَا كُلَّهُ , فَلَا تُقْطِرُ قَطْرَةً , وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ نَبَاتَهَا كُلَّهُ , فَلَا تُنْبِتُ خَضْرَاءَ , فَلَا تَبْقَى ذَاتُ ظِلْفٍ إِلَّا هَلَكَتْ إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ , قِيلَ : فَمَا يُعِيشُ النَّاسُ فِي ذَلِكَ الزَّمَانِ ؟ قَالَ : ” التَّهْلِيلُ وَالتَّكْبِيرُ , وَالتَّسْبِيحُ وَالتَّحْمِيدُ , وَيُجْرَى ذَلِكَ عَلَيْهِمْ مُجْرَى الطَّعَامِ

“Sebelum keluarnya Dajjal, akan berlaku tiga tahun yang amat dahsyat. Manusia akan dilanda kemarau yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menahan satu pertiga airnya daripada hujan dan bumi menahan satu pertiga tanaman daripada tumbuh. Pada tahun kedua, Allah akan memerintahkan langit menahan dua pertiga airnya daripada hujan dan bumi menahan dua pertiga tanaman daripada tumbuh. Pada tahun ketiga, Allah akan memerintahkan langit menahan semua airnya daripada hujan dan bumi menahan semuatanaman daripada tumbuh. Tiada setitis pun air hujan dan tiada sepohon tanamanpun tumbuh menyebabkan ternakan habis binasa. Ditanya: Bagaimana manusia hidup kala itu? Sabda Baginda: Dengan bertahlil, takbir, tasbih dan tahmid. Ia akan menjadi makanan (bagi orang beriman).”

[HR Ibn Majah]

2 Ramadhan 1440
7 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 7/5/2019