Politik: Antara ilmu agama dan nafsu serakah

MEDAN Politik Malaysia hari ini sekali lagi digemparkan dengan kenyataan dan persoalan bersifat provokasi jahat dan nakal ke atas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Hari ini, portal Sinar Harian bertarikh 7 Mei 2019 telah memuat naik satu artikel yang jelas mempersoalkan tahap keilmuan dan kewibawaan Presiden PAS itu.
 
Namun begitu, penulis mendapati artikel ini kelihatan serupa dengan artikel bertajuk “Hadi Awang cuba menyaingi Anwar Ibrahim” yang ditulis oleh Wan Ji Wan Hussin bertarikh 26 April 2018. Jadi di sini, penulis sekadar ingin bertanya adakah kewibawaan dengan menyiarkan artikel plagiat? Tidakkah sepatutnya berasa malu dan hiba kerana penulis kedua artikel ini bukanlah orang yang sama.
 
Artikel tersebut kelihatan tidak matang dalam mempersoalkan perjuangan Islam yang diterajui oleh PAS dibawah pimpinan Tuan Guru Presiden, antaranya ialah:
 
Pertama: Artikel tersebut menyentuh tentang betapa relevannya Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Ke-8 setelah berjaya menang selesa di Parlimen Port Dickson dan mencabar Presiden PAS untuk bertanding di luar kawasan selesa.
 
Kedua: Kewibawaan Anwar Ibrahim dalam melaksakan Islam di Malaysia berdasarkan sejarah.
 
Ketiga: Artikel tersebut turut menyentuh perkara hubungan PAS dan Umno.
 
Keempat: Meremehkan hukum hudud dalam perkara hukuman kepada pencuri dengan cara memberi kerja dan sebagainya.
 
Kelima: Dr. Yusof al Qaradawi meminta pandangan daripada Anwar.
 
Bagi penyokong Anwar, mungkin mereka sudah terlupa apakah yang telah dilalui susuk tubuh pemimpin mereka ini berdasarkan sejarah 1999-2018 dengan berlaku penubuhan PKR dengan temanya “Reformasi” di zaman pemerintahan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ke-4. Maka dengan ini, penulis menjawab segala lontaran yang diherdik di Sinar Harian kepada Tuan Guru Presiden PAS.
 
Pertama: Mengapa perlu mencabar seorang Ahli Parlimen lain untuk bertanding di luar kawasan parlimen yang didiaminya? Soalan ini tidak sama sekali relevan kerana kita semua sedia maklum bahawa PRU ini diadakan bukan untuk menjadi mainan ahli politik mencuba-cuba bertanding kepercyaan rakyat. PRU ini diadakan untuk rakyat memilih wakil mereka sesuai dengan undang-undang dan harapan baru kepada rakyat. Namun Anwar Ibrahim tidak berfikir begitu, beliau menjadikan PRK Port Dickson sebagai satu permainan untuk memenangkan agenda peribadi dan sanggup menurunkan calon asal yang memenangi parlimen tersebut. Maka di sini, rakyat dapat menilai bahawa Anwar Ibrahim ialah seorang yang sanggup berbuat apa sahaja demi matlamat peribadinya.
 
Kedua: Anwar Ibrahim meskipun dilihat sebagai seorang pejuang agama pada penyokongnya sebenarnya hanya pengaib kepada apa yang dikatakan perjuangan Islam. Hukum Islam yang sebenar ialah hukum yang berlandaskan Al-Quran, As Sunnah, Ijma’ dan Qias. Bukannya sesuka hati meraikan perayaan agama lain dan bersuka ria tanpa mengambil cakna halal haram makruh di dalam Islam seperti lalai menari menyanyi di khalayak umum, menunduk pada kepercayaan kuil dan sebagainya. Demikian Islam telah menggariskan beberapa perkara yang perlu dipatuhi bagi meraikan agama lain dan penulis menggesa agar Anwar Ibrahim lebih cakna dan mendalami Ilmu Islam agar tidak bertindak mengikut nafsu semata-mata.
 
Ketiga: Hubungan PAS-Umno bukanlah ibarat hubungan perkahwinan si isteri perlu ikut suami atau suami perlu duduk dibawah ketiak isteri. Tidak timbul isu PAS ikut Umno atau sebaliknya kerana yang diberi perhatian ialah kedua parti gergasi Melayu ini ialah untuk terus mengikut Islam. Isu mengkafirkan Umno ini sudah lama menjadi propaganda pihak yang mencari celah memburukkan PAS, tapi takut berdepan hujah. Walaupun Umno terpalit dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, namun hari ini ia masih dalam siasatan dan diuruskan oleh SPRM yang diyakini ketelusannya. Apa yang salah kerjasama PAS-Umno ini? Yang salahnya ialah orang yang suka mengungkit dan menyebarkan fitnah! Siasatan masih di dalam proses namun mulut puaka ini masih suka berkata-kata mengenainya. Apakah Ahli Parlimen ini lebih besar kuasanya daripada SPRM itu sendiri sehingga mampu membuat tohmahan lagi walaupun SPRM sudah mengesahkan  bahawa tidak wujud transaksi RM90 juta serta mengesahkan bahawa tiada akaun pemilik PAS dibekukan. Inilah keberanian mereka menfitnah dan cuba mengelirukan rakyat yang telah memberi mereka kuasa!
 
Keempat: Dengan hal ini, mereka juga berpendapat bahawa hukum hudud itu adalah kejam. Malah melalui pemikiran akal mereka, lebih elok seorang pencuri itu diberi kerja dan menjalani kehidupan yang baik bersama keluarga. Hukuman hudud ini adalah satu undang-undang yang termaktub di dalam al Quran yang datangnya dari Allah S.W.T. Perkara ini sepatutnya difahami oleh setiap umat Islam di mana zaman sekalipun. Undang-undang Islam ini merupakan ‘trump card’ yang akan mampu menyelesaikan pelbagai masalah manusia hari ini. Bayangkan jika hukuman ini diperkasa, pasti tidak akan ada seorang pun yang berani melakukannya. Mampukah kita menafikan itu? Walaubagaimanapun, beberapa syarat telah pun ditetapkan sebelum hukuman ini boleh dijalankan antaranya ialah masalah yang timbul sehingga menyebabkan seorang itu melakukan itu dan jumlah ‘haul’ yang ditetapkan. Hudud bukanlah satu hukuman yang boleh dipersenda dan dijenakakan. Mereka yang mempersenda dan menjenakakannya perlulah lebih mendalami ilmu agama Islam yang sebenar dan tidak berfikir melalui logik akalnya sahaja.
 
Kelima: Dr. Yusof al Qaradawi merujuk terus kepada Anwar Ibrahim tentang tuduhan Qazaf yang berlaku pada dirinya setelah mahkamah memutuskan beliau terbabit dalam hubungan songsang itu pada tahun 1999. Tuduhan ini mengambil tempat ketika pemerintahan BN dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu. Tuduhan ini melibatkan laporan beberapa mangsa liwatnya iaitu Azizan Abu Bakar, Sukma Darmawan dan lain-lain. Maka hal seperti ini sememangnya wajar untuk Dr Yusof al Qaradawi merujuk terus kepada Anwar Ibrahim. Malah yang menjadi persoalan, di manakah hilang rasa hutang budi Anwar Ibrahim ini kepada Presiden PAS yang dahulunya jelas teguh mempertahankan beliau dalam isu Qazaf ini. Bahkan sehingga hari ini walaupun Anwar Ibrahim terpedaya dan percaya bahawa PAS mengamalkan rasuah RM90 juta, penulis menegaskan bahawasanya ahli PAS dan pimpinannya tetap tidak percaya bahawa Anwar Ibrahim mengamalkan liwat dan beliau bersama penyokongnya patut berterima kasih. – HARAKAHDAILY 7/5/2019
Advertisement