Ramasamy emosi melampau, tuduhan buka pekung

BANTAHAN Timbalan Ketua Menteri, Dr P Ramasamy terhadap cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (LTAK), jelas bernada emosi. Beliau mendakwa terdapat cubaan mengurangkan tarikan dan menghukum atas kejayaan dicapai negeri ini.
 
Tetapi paling melampau apabila Ramasamy turut mengaitkan hal tersebut dengan dominasi Melayu dan komposisi kaum yang ‘ganjil’ dalam pembangunan bandar dan komersial. Apakah beliau sedar ianya satu tuduhan dan juga satu pengakuan?
 
Dengan penyataan itu Ramasamy telah menuduh wujud sikap dan keputusan berasaskan perkauman Melayu yang tidak adil dan seolah telah menindas kaum lain. Ketika sama mengaku berlaku perubahan komposisi kaum yang menguasai bandar dan komersial.
 
Ternyata, Ramasamy tidak pernah menyingkirkan sentimen perkaumannya yang ekstrem, lalu menuduh pihak lain juga seperti dirinya. Tetapi membuka pekung dan menyedari hakikat bahawa berlakunya perubahan komposisi kaum di negeri ini.
 
Sediakah Ramasamy mengesahkan bahawa ianya terjadi lantaran polisi dan agenda Kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri telah, sedang dan akan mengusir penduduk secara strategik? Atas nama pembangunan dan kemajuan, penduduk asal baik Melayu, Cina mahupun India diabaikan.
 
DAP begitu teruja menjadikan Pulau Pinang seperti Hong Kong dan Singapura, lalu penduduk tanpa mengira kaum kerana miskinnya mereka, maka akan dihambat keluar? Walhal, mereka yang sedang memiliki hartanah mewah bukanlah anak kelahiran jati pulau ini.
 
Malah, ketika Ramasamy emosi mempersoal logik lapangan terbang di Alor Setar dan Pulau Langkawi, tidakkah beliau melihat logik sama atas lapangan terbang di negeri ini? Malah semua projek dirancang DAP sedang berdepan kontoversi kajian kelayakan.
 
Tidak perlu Ramasamy pertikaikan mengenai penilaian impak sosial, trafik dan alam sekeliling; sedangkan Pulau Pinang juga gagal memenuhinya. Malah, paling buruk, projek di negeri ini terpalit dengan skandal rasuah yang siasatannya belum diklarifikasi.
 
Ramasamy perlu hentikan emosi kaum dan suara negatif dizahir beliau. Sebaliknya fikirkan pembangunan dan keperluan Wilayah Utara keseluruhan bersama masa depannya. Kita tidak hidup lama, tetapi mesti mewariskan yang terbaik buat generasi akan datang.
 
“Islam Memimpin”
 
ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 7/5/2019
20190507 163206
 
IMG 20190507 WA0079
Advertisement