Abu Yusof dan teori wajib Negara Islam

PEMIKIRAN mengenai teori-teori kenegaraan telah mula dikembangkan dalam sejarah Islam sejak abad kedua Hijrah lagi. Tokoh terawal yang memperkatakan teori negara dalam Islam ialah Qadhi Abu Yusof (113-182H). Beliau merupakan murid kanan kepada Imam Abu Hanifah dan guru kepada Imam Syafie. Imam Syafie mempelajari fiqh Mazhab Hanafi dengan beliau di Baghdad. Abu Yusof mengemukakan teori negaranya melalui beberapa karyanya, terutama al-Kharaj.

Advertisement

Abu Yusof menekankan soal kepentingan awam (maslahah al-ammah) dalam membahaskan hal-hal kenegaraan. Kebanyakkan gagasan beliau tentang kenegaraan ini ditujukan kepada Khalifah Harun ar-Rashid. Sebagai ahli ra’yu, beliau banyak mengembangkan pemikiran, dasar dan pendekatan Syaidina Umar ibnu al-Khattab dalam hal-hal kenegaraan berasaskan konsep maslahat.

Abu Yusof dan karya-karyanya

Qadhi Abu Yusof atau nama sebenarnya, Yaakub bin Ibrahim bin Habib bin Khunais bin Sa’ad al-Ansari al-Jalbi al-Kufi al-Baghdadi. Beliau lahir pada 113H di Kufah dan meninggal dunia pada 182H di Baghdad. Beliau merupakan murid utama Imam Abu Hanifah, selain Muhammad al-Hassan. Karya-karya beliaulah yang menggalurkan pendekatan atau turuq Mazhab Imam Abu Hanifah itu. Pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid, beliau dilantik sebagai Qadhi al-Qudhah (Ketua Hakim Negara).

Abu Yusof terkenal sebagai ulamak yang mendukung aliran ar-ra’y, yang banyak menggunakan pendekatan qias (analogi), yang kemudiannya mempengaruhi pemikiran fiqh dan ketatanegaraannya. Antara karya-karya utama yang dihasilkan oleh beliau ialah al-Kharaj, al-Jawami’, ar-Radd ala Siyar al-Auza’ie al-Athsar. Ikhtilaf Abu Hanifah wa Ibn Abi Laila dan lain-lain. Karya-karya beliau adalah rujukan paling autentik tentang Mazhab Hanafi.

Teori kewajipan negara

Abu Yusof mengemukakan tiga konsep utama dalam memperkatakan tentang kewajipan negara. Asas kepada kewajipan negara ini adalah supaya seluruh kepentingan rakyat atau maslahah al-ammah dapat dijaga. Tiga dasar tersebut ialah (1) pengendalian pemerintahan yang efektif, (2) pemeliharaan hak rakyat, dan (3) pengelolaan kewangan awam. Ketiga-tiga dasar ini menjadikan sebuah negara atau kerajaan itu dapat menjamin kemaslahatan rakyat.

I.     Pengelolaan pemerintahan yang efektif

Bagi Abu Yusof, pemerintahan yang cekap akan wujud apabila setiap dasar negara disusun dan digubal dapat memenuhi kepentingan rakyat. Oleh itu, apa sahaja dasar negara yang menyentuh maslahat rakyat mestilah menepati sasaran dan memenuhi aspek kemaslahatan tersebut. Tugas utama kerajaan adalah untuk mewujudkan dan menjamin kesejahteraan rakyat. Maka menjadi kewajipan bagi setiap pemerintah untuk memenuhi keperluan rakyat dan mengembangkan dasar-dasar yang berorientasikan kesejahteraan umum.

Abu Yusof pernah memetik surat Umar kepada Abu Musa al-Asy’ari tentang kewajipan pemerintah,

“Pemerintah yang baik di sisi Allah adalah mereka yang memakmurkan rakyat. Manakala pemerintah yang buruk di sisi Allah adalah mereka yang menyusahkan rakyatnya. Berhati-hatilah wahai pemimpin negara. Jika kamu korup, orang bawah kamu akan mengikuti jejak kamu. Bila kamu melakukan korup, dirimu itu selayaknya seperti seekor binatang yang menemui kebun hijau, lalu melahap setiap tumbuhan di situ. Ia mengira bahawa tubuhnya semakin gemuk, tetapi kegemukkan itu ternyata membinasakannya.”

II.      Pemeliharaan hak rakyat

Ketua negara adalah berkewajipan memelihara semua hak rakyat. Kerana itu mereka mesti menjelaskan secara transparen kepada rakyat berkait harta dan kekayaan negara, program-program kerajaan dan semua perkara yang berkait pemenuhan hak rakyat. Negara mesti menjelaskan hak-hak dan kewajipan rakyat, terutama berkait dengan undang-undang. Ini tidak bermakna ketua negara berhak menetapkan undang-undang, melainkan menjalankan tugas mereka sebagai eksekutif yang menjalankan hukum-hukum yang ditetap oleh para fuqaha’.

III.      Pengelolaan kewangan awam

Abu Yusof adalah fuqaha’ terawal membahaskan isu ekonomi politik dalam pengurusan negara. Ia melibatkan dasar-dasar pengelolaan pendapat, kekayaan dan kewangan negara, terutama percukaian. Bagi beliau, prinsip keadilan dalam pengelolaan kekayaan negara dan sistem percukaian akan meningkatkan kemakmuran negara, jika sebaliknya negara akan runtuh. Percukaian yang adil dan penerapan denda syariat secara adil akan mendatangkan kemakmurkan kepada rakyat dan kerajaan akan memperolehi manfaatnya.

Pembangunan ekonomi negara

Sebagai pelopor pemikiran ekonomi politik dalam kenegaraan Islam, Abu Yusof terkenal dengan teori-teori ekonomi negara Islam yang dituangkan dalam karyanya, al-Kharaj. Antara gagasan penting beliau ialah:

1.     Kekayaan atau hasil negara adalah menerusi percukaian ke atas aktiviti komersial, termasuk cukai (kharaj) yang dipungut bagi penggunaan kemudahan awam untuk tujuan komersial.

2.     Kutipan bayaran atau duti import dari negara lain, mencontohi tindakan Umar mengenakan ‘usyur ke atas pedagang asing yang membawa barang dagangan dari luar.

3.     Kerajaan hendaklah mengeluarkan belanjawan tahunan sebagai anggaran rasmi negara, melibatkan pembangunan kemudahan awam serta pemuliharaan tanah untuk kemakmuran dan produktiviti yang menjadi tanggungjawab negara.

4.     Kerajaan tidak bertanggungjawab untuk mengawal harga barang, sebaliknya menyerahkan kepada kebebasan pasaran. Bagi Abu Yusof, turun naik harga barang bergantung kepada ketentuan Allah.

5.     Mewujudkan sistem irrigation (perairan) untuk kesamarataan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Kerajaan bertanggungjawab membina tali air baru dan membaik pulih tali air lama untuk menyuburkan tanah dan memajukan pertanian.

Kewajipan asas negara

Menurut Abu Yusof, secara operational yang berkait dengan pengurusan negara, terdapat dua kewajipan kerajaan, iaitu:

1.     Peraturan kemudahan awam. Kerajaan perlu mengadakan undang-undang berkait kemudahan awam yang bertujuan untuk pemanfaatan sumber alam. Sumber alam yang asas perlu disediakan secara percuma oleh kerajaan dan mencegah monopoli terhadap kekayaan alam awam.

2.     Pengelolaan kewangan awam. Kerajaan bertanggungjawab ke atas percukaian dan pengagihannya untuk kemakmuran rakyat.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 8/5/2019