Kompleks At-Ta’alim perlu dana lagi RM3 juta

SEKOLAH Rendah Islam At-Taalim, Seri Manjung telah mula beroperasi di sini hasil usul yang dibentangkan dan dipersetujui oleh para perwakilan dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lumut pada tahun 1996 telah berjaya ditubuhkan oleh mantan Yang Dipertua PAS Lumut, Noh Ahmad bersama ahli jawatankuasanya dua dekad yang lalu. 
 
Menyusuri detik awal penubuhan, sekolah ini bermula di sebuah rumah banglo satu tingkat di Fasa 1D dengan pengambilan pelajar bagi kelas darjah satu dan dua seramai 30 murid dan 4 guru dan ianya diadakan secara gotong-royong membuat meja meja murid, mengecat bangunan, ‘partition’ kelas dan sebagainya pada setiap malam selepas selesai solat tarawikh secara berjemaah. Semangat gotong-royong ini menjadi rutin tahunan sehingga kini. 
 
Warga Manjung telah menjadikan sekolah ini sebagai pilihan pendidikan anak mereka sehingga pihak pengurusan menyewa bangunan ITM Manjung pada tahun 1999 sebelum berjaya membeli deretan 10 pintu rumah kedai di belakang Stesen Bas Manjung pada tahun 2006 dengan jumlah RM1.8 juta.
 
Penyediaan silibus integrasi yang disepadukan dengan Aliran Perdana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) telah memenuhi hasrat ibu bapa untuk menghantar anak mereka beramai-ramai mengakibatkan penempatan pelajar terhad dan tidak dapat menampung kemasukkan pelajar saban tahun. Sehingga tahun 2019, jumlah di At-Taalim mencecah seramai 1,300 pelajar dan 70 tenaga pengajar. 
 
Oleh itu, pihak Pembangunan Kompleks Pendidikan At-Taalim telah mula membangunkan sebidang tanah seluas 2.06 ekar yang telah diwakafkan seorang pencinta ilmu terletak di Lot 3016, Jalan Kampung Tersusun, Batu 7 Lekir Sitiawan pada tahun 2012. Tetapi hanya dapat menempatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga, disebabkan bangunan lain masih lagi dalam proses pembinaan. 
 
Manakala pelajar Tingkatan Empat hingga Enam (STAM) pula masih berada di bangunan rumah kedai di belakang Stesen Bas Seri Manjung. 
 
Jumlah keseluruhan bagi pembangunan kompleks ini sebanyak RM7 juta melibatkan tiga blok bangunan tiga tingkat dapat menempatkan 24 kelas, pejabat, bilik guru, dewan peperiksaan, perpustakaan, makmal komputer dan makmal sains serta auditorium STAM.
 
Pengetuanya, Ustaz Badrulhisyam Baharuddin berkata, berdasarkan cadangan awal bangunan ini dijangka boleh digunakan pada Mac 2018 dan pelajar yang masih belajar di rumah kedai di Seri Manjung akan dipindahkan ke sini tetapi disebabkan dana masih tidak mencukupi menjadi faktor pembinaan tidak dapat disempurnakan. 
 
“Kami masih lagi berhutang dengan kontraktor, namun mereka tetap juga menjalankan kerja mereka mengikut kemampuan mereka,” katanya lagi.
 
Pembinaan Kompleks At-Taalim ini mensasarkan sumbangan RM3 juta lagi bagi merealisasikan serta memenuhi keperluan pendidikan warga Manjung dan menyediakan pusat pendidikan yang lengkap dan unggul di Daerah Manjung ini. 
 
Menurutnya, sekolah ini dibina menggunakan sepenuhnya dana orang ramai dan pihaknya masih berharap agar lebih ramai yang sudi menyumbang di bulan puasa ini.
 
Pihak Lembaga Pengurusan Pembangunan Kompleks At-Taalim telahpun mendapat kelulusan bertulis kali kedua bermula 1 Mei 2019 hingga 30 April 2020 daripada Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), No. Ruj. : Bil(3)dlm.MAIPk/05-PD/435-SAR setelah tamat kelulusan pertama daripada pihak MAIPk (22 Oktober 2018 hingga 21 April 2019) yang lalu. 
 
Berbekalkan surat kelulusan ini, para sukarelawan telah berkorban masa, tenaga, siang malam, berusaha gigih turun mengutip derma di pasar-pasar pagi dan pasar-pasar malam sekitar negeri Perak tanpa penat lelah untuk merealisasikan pembangunan kompleks ini dapat disiapkan dengan kadar segera. 
 
Sempena Bulan Ramadan Al-Mubarak ini, pihak Pengurusan Pembangunan Kompleks At-Taalim merayu dan memohon kepada semua dermawan yang bermurah hati di seluruh Malaysia dan Perak khasnya supaya dapat menghulurkan wakaf, infak, sumbangan atau dana. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank  Islamic  5582  9360  6057 atas nama Kompleks  At-Ta’alim.
 
Sebarang pertanyaan boleh hubungi, Pengerusi Pembangunan At-Taalim, Osman Uyob (016-5591795), Pengetua Sekolah Menengah At-Taalim, Ustaz Badrulhisyam Baharuddin (014-2440793) dan Pejabat At-Taalim (05-6888196). Pihak pembangunan turut mengalu-alukan para dermawan untuk hadir membuat tinjauan lapangan dan melihat pembangunan kompleks yang sedang dibangunkan ini. – HARAKAHDAILY 9/5/2019
IMG 20190509 WA0060
 
IMG 20190509 WA0058
 
IMG 20190509 WA0057
 
IMG 20190509 WA0053
 
himpunan1
 
himpunan 2
Advertisement