Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (5)

فَلَعَلَّكَ بَٰخِعٞ نَّفۡسَكَ عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِمۡ إِن لَّمۡ يُؤۡمِنُواْ بِهَٰذَا ٱلۡحَدِيثِ أَسَفًا

Advertisement

“Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini.”

[al-Kahf:6]

Penekanan utama ayat:

●     Kasih sayang Rasulullah S.A.W

Kita boleh melihat bagaimana kasihnya Baginda S.A.W terhadap umatnya sehingga Baginda tidak mahu walau seorang pun tidak mendapat hidayah Allah. Terdapat hadis yang menceritakan bagaimana sedihnya Baginda melihat jenazah seorang Yahudi diusung di hadapannya. Apabila ditanya, beliau menjawab sedih kerana seorang lagi manusia yang tidak sempat dia selamatkan.

●     Azab itu pasti

Perkataan آثارهم merujuk kepada kesan penentangan yang dibuat oleh golongan kuffar terhadap Islam. Allah menjanjikan kesan yang perit kepada mereka yang tidak bersama Islam. Boleh jadi kesan tersebut menimpa mereka di waktu dunia lagi. Tetapi yang pasti mereka tetap akan diseksa di dalam neraka.

●     Manusia tidak mampu beri hidayah

Tanggungjawab pendakwah hanya menyampaikan risalah Islam. Soal manusia terima atau tidak, itu bukan lagi tanggungjawab pendakwah. Itu adalah kerja tuhan yang lebih mengetahui siapa yang layak siapa yang tidak.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Kehebatan fitnah Dajjal adalah mampu menipu daya hampir seluruh pelusuk dunia. Sewaktu kemunculannya, dia akan mengelilingi seluruh dunia mencari pengikut. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ الأَعْوَرَ الدَّجَّالَ مَسِيحَ الضَّلاَلَةِ يَخْرُجُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ فِي زَمَانِ اخْتِلاَفٍ مِنَ النَّاسِ وَفُرْقَةٍ ، فَيَبْلُغُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنَ الأَرْضِ فِي أَرْبَعِينَ يَوْمًا ، اللَّهُ أَعْلَمُ مَا مِقْدَارُهَا ، اللَّهُ أَعْلَمُ مَا مِقْدَارُهَا

[HR Ibn Hibban]

Golongan yang akan menjadi pengikut Dajjal berdasarkan hadis-hadis yang banyak:

1.    Orang kafir secara umum terutama yang sekular dan materialistik.

2.    Yahudi secara khususnya daripada Isfahan.

3.    Orang Islam yang jahil, tidak ikhlas dan fasiq.

4.     Kaum wanita.

5.    Kanak-kanak.

6.    Orang Badwi atau tidak bertamadun atau luar bandar.

7.    Munafiq.

Berdasarkan golongan di atas, boleh disimpulkan bahawa hampir seluruh dunia akan menjadi pengikut Dajjal. Ini kerana:

1.    Majoriti penduduk dunia adalah orang kafir.

2.    Ramai orang Islam yang hanya Islam atas nama sahaja, tidak ikut Islam seluruhnya. Terpengaruh dengan sekular.

3.    Nisbah wanita melebihi lelaki.

4.    Orang berpura-pura bersama Islam makin ramai.

Hal ini bakal menyebabkan anggota gerakan Islam yang bermatlamat menegakkan agama Allah pasti akan berasa sedih dan terkilan apabila ada di kalangan sanak saudara atau kenalan mereka yang terpengaruh dengan fitnah Dajjal. Boleh jadi ada gerakan Islam yang akan rosak bahana fitnahnya. Sebelum Dajjal muncul secara fizikal pun, kita sudah boleh melihat terdapat beberapa gerakan Islam yang sudah terpesong daripada keaslian perjuangan Islam seperti apa yang berlaku di Morocco dan Tunisia. Ikhwan Muslimin sendiri yang diibaratkan sebagai guru gerakan Islam seliruh dunia juga kini sudah tidak stabil.

Oleh yang demikian, ayat ini memberi pesanan supaya umat Islam tidak merasa pesimis sekiranya tiba saat tersebut. Menjadi sunnatullah perjuangan, tidak semua orang yang disayangi akan bersama dengan kebenaran. Firman Allah S.W.T:

إِنَّكَ لَا تَهۡدِي مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk.”

[Al-Qasas: 56]

Oleh kerana itu, tidak perlu merasa kecewa sekiranya ada yang meninggalkan kebenaran. Perkara ini sudah menjadi sunnatullah. Lebih baik kita fikirkan nasib diri sendiri di akhirat kelak. Bukan pentingkan diri, bukan meninggalkan dakwah fisabilillah, tetapi perlu mendidik jiwa supaya bersedia dan tidak patah semangat sekiranya hidayah tidak bersama kenalan kita.

Paling penting adalah keadaan kita di hadapan Allah kelak. Walau kita berjuang secara berjemaah sekalipun di dunia, tetapi di akhirat penilaian Allah tetap dikira secara individual. Firman Allah S.W.T:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ عَلَيۡكُمۡ أَنفُسَكُمۡۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا ٱهۡتَدَيۡتُمۡۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.”

[Al-Ma’idah105]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 11/5/2019