Muslimat PAS, Wanita Umno imarah Ihya’ Ramadan

BUKIT MERTAJAM: Muslimat PAS Kawasan Bukit Mertajam telah menganjurkan Ihya’ Ramadan yang turut dihadiri Wanita Umno dan masyarakat setempat di Surau Taman Sri Janggus, di sini.

Advertisement

Program ini memulakan acara dengan tadarus al-Quran, sebelum diisi dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan Ketua Urusan Ulamak PAS Bukit Mertajam, Ustaz Syamizam Ibrahim.

Pengisian beliau berkisar sirah Rasulullah S.A.W mengenai Perang Mu’tah di mana para Sahabat R.A bermati-matian mempertahankan Islam dari kuasa besar angkatan perang musuh.

Turut menyampaikan ucapan adalah Ketua Muslimat PAS Bukit Mertajam, Noriah Ibrahim yang menyentuh pemahaman umum mengenai konsep ta’awun khususnya antara PAS dan Umno.

Terangnya, hubungan tersebut telah dijalin mulakan oleh PAS Pusat sendiri dan semua pihak telah menjadi saksi melihat antara natijahnya adalah kemenangan dalam beberapa PRK.

Beliau turut menyeru para muslimat agar menguatkan rohani iaitu dengan memanfaatkan kedatangan Ramadan menerusi amalan sunnah yang digandakan pelaksanaannya.

“Dalam memperjuangkan Islam, tidak boleh tidak, kita perlu meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada Allah S.W.T. Hanya Dia yang akam beri kemenangan untuk perjuangan Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/5/2019