Edar air mineral untuk penduduk Air Ganda

LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong telah mengedarkan air mineral kepada kira-kira 300 keluarga yang menghadapi masalah pencemaran air di Loji Rawatan Air (LRA) di Kampung Air Ganda, di sini, semalam.
 
Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria berkata, inisitif itu mungkin tidak seberapa nilainya, tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan beban memenuni keperluan air minuman.
 
LRA Sungai Ganda telah ditutup sejak April lalu apabila dilaporkan mengandungi racun arsenik di mana kini usaha pemulihan sedang giat dilaksanakan bagi membebaskan pencemaran tersebut.
 
Beliau berharap usaha itu menjadi pemangkin kepada pihak-pihak berkenaan supaya mempercepatkan kerja-kerja tersebut agar bekalan air dapat segera disalurkan.
 
“Memandangkan bulan Ramadan, keperluan terhadap air bersih, terutama air minuman sangat penting kepada mereka, jadi kita merasa bertanggungjawab untuk meringankan sedikit masalah mereka,” katanya.
 
Pengedaran air mineral sebanyak enam liter bagi setiap keluarga itu digerakkan oleh Dewan Pemuda PAS dengan kerjasama PAS Kawasan, Dewan Muslimat PAS, Ameerah dan PAS Cawangan Air Ganda sendiri.
 
Turut hadir, Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS Lenggong, Ustaz Hanafiah Mohd Idris dan Mohd Jamel Yahaya dan Ketua Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman.
 
Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, beliau difahamkan ujian terhadap kualiti air di LRA Sungai Ganda akan hari ini sama ada telah bebas daripada pencemaran sebagaimana makluman yang diberi.
 
Bagaimanapun, beliau difahamkan air berkenaan yang mengandungi tahap arsenik rendah, hanya boleh digunakan untuk mandi dan mencuci pakaian, tetapi tidak untuk minuman. – HARAKAHDAILY 13/5/2019
IMG 20190513 WA0089
Advertisement