MalaysiaKini jangan jadi batu api perkauman

DEWAN Pemuda PAS Perak menyelar sekeras kerasnya tindakan Akhbar MalaysiaKini yang telah memutarbelitkan fakta sejarah berkenaan 13 Mei 1969. Sudah acap kali, lidah tidak rasmi yang Pro-DAP ini mencetuskan kemarahan sebahagian besar Rakyat Malaysia. 
 
13 Mei adalah isu yang sangat sensitif bagi rakyat Malaysia, ubahan fakta sejarah dan rujukan yang bernafsu memenangkan satu kaum dan memburukkan kaum yang lain tanpa huraian ilmiah akan menatijahkan keretakan perpaduan kaum.  
 
Salah hurai sejarah ini akan membangkitkan amukan sesetengah kaum kerana berasa kelompok mereka dipersalahkan dan ditindas. MalaysiaKini seharusnya lebih berilmiah dan membawa elemen-elemen pengajaran berbanding menabur benih perpecahan di kalangan rakyat. 
 
Huraian yang hanya membawa kepada naratif salah faham perkauman semata mata tanpa menjelaskan faktor-faktor yang lain seperti Dasar Pecah dan Perintah yang dibawa British, Perbezaan Sistem Aliran Pendidikan era 50-an, Perbezaan agama dan budaya, Tertubuhnya banyak persatuan berasaskan kaum, dan longgar terhadap semangat kontrak sosial inilah yang telah meningkatkan lagi suhu ketegangan kaum pada waktu itu dan ini seharusnya diteladani dan diinsafi sekalian rakyat Malaysia.
 
MalaysiaKini perlu terkehadapan dengan hujah dan fakta mutawatir, bukannya dengan auta yang membangkitkan kemarahan sesetengah pihak. Akhbar media maya seperti ini tidak pernah serik menggoncang atmosfera politik Malaysia dengan berita murahan dan fitnah seperti ini, layaklah dipanggil Batu Api. 
 
Demi Malaysia yang Sejahtera, Dewan Pemuda PAS Perak mengesa Pihak Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap akhbar media maya ini dan meminta supaya pihak penerbit menurunkan artikel bertajuk ‘13 Mei, moga tak berulang: Rusuhan 1969 yang mengubah Malaysia’ yang telah memutarbelit dan memanipulasikan peristiwa 13 Mei.
 
AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Advertisement