Jika tidak salah ‘malu apa bro’

KOTA BHARU: Apabila seseorang dihantar ke penjara dia tetap dikenali sebagai bekas banduan setelah keluar daripada penjara.

Advertisement

Lebih-lebih lagi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 300 dan 301 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) mempunyai peruntukan yang sama berkaitan kuasa menggantung dan meremit hukuman oleh Raja.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi (LUHAM) Kelantan Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, kuasa mengampun di bawah Perkara 42 dan Seksyen 300 KPJ tidak sesekali memberi isyarat rekod dapatan bersalah (conviction) juga terhapus.

“Sama ada secara nyata atau tidak bahawa selepas pengampunan diberikan, rekod dapatan bersalah (conviction) tidak terhapus.

“Atau dengan bahasa mudahnya ‘kamu tetap bersalah’. Tambahan pula Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim terdapat dua dapatan bersalah dan pengampunan hanyalah terhadap dapatan bersalah yang kedua,” katanya di sini.

Baru-baru ini ketika kempen Pilihan Raya Kecil di Sandakan Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan dilapor menyebut seseorang yang keluar daripada penjara status seumur hidupnya adalah bekas banduan.

Berikutan kenyataan itu beberapa pemimpin PKR di peringkat akar umbi membuat laporan polis terhadap Takiyuddin atas alasan menghina Raja.

“Jadi tidak ada apa salahnya dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS itu. Persoalannya kenapa teramat sensitif dengan perkataan bekas banduan.

“Jika kita tidak salah ‘malu apa bro,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2019