Daesh: Elak prasangka, jaga hubungan kaum

SEBARAN mengenai ancaman ekstremis Daesh akan menyerang gereja di negeri ini mesti didepani rakyat Sarawak secara tenang dan matang. Kami menasihati semua agar tidak mempercayai khabar angin serta menyebarkan pula maklumat palsu yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan awam.
 
Sebagai rakyat, perkara seperti ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa keselamatan dalam menanganinya. Sungguh pun begitu, atas dasar tanggungjawab bersama, setiap rakyat juga berperanan melaporkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia sekiranya ternampak unsur mencurigakan.
 
Sebarang unsur yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam mestilah ditangani sebaiknya. Kami juga menggesa pihak berwajib melakukan siasatan dan bertindak tegas terhadap pelaku yang telah membuat sebaran palsu tersebut atas provokasi dicetuskannya.
 
Pihak Polis juga diminta menyiasat motif disebalik tindakan berkenaan kerana ia berpotensi mencetuskan perasaan kurang senang dan tuduhan yang tidak sewajarnya. Kami menasihatkan semua pihak agar tidak prejudis mahupun membuat tuduhan melulu mengaitkan mana-mana kaum atau agama.
 
Ingin kami tegaskan bahawa Islam mengutuk sebarang kezaliman, keganasan, ekstremis, radikal dan melampau. Hatta dalam mempertahankan diri, Islam juga melarang dirosakkan harta benda dan tanaman. Apatah lagi premis agama, termasuk golongan yang tidak sewajarnya diheret ke kancah peperangan.
 
Golongan agamawan, masyarakat awam terutama kanak-kanak, wanita dan warga tua mesti dipastikan jaminan keamanan buat mereka dalam semua keadaan. Kami juga menegaskan, anggapan jahat kononnya gerakan Daesh disokong orang Islam serta sebahagian tuntutan jihad adalah tidak benar sama sekali.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
HAMDAN SANI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 17/5/2019
Advertisement