Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (12)

وَإِذِ ٱعۡتَزَلۡتُمُوهُمۡ وَمَا يَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأۡوُۥٓاْ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ يَنشُرۡ لَكُمۡ رَبُّكُم مِّن رَّحۡمَتِهِۦ وَيُهَيِّئۡ لَكُم مِّنۡ أَمۡرِكُم مِّرۡفَقٗا

Advertisement

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.

Penekanan utama ayat:

●      Uzlah

Perkataan اعتزل adalah dari kata terbitan uzlah (عزلة) bermaksud pengasingan. Dari sudut istilah syarak, ia merujuk kepada pengasingan diri secara sukarela oleh seseorang daripada masyarakat sekeliling, bertujuan untuk fokus kepada ibadat.

Konsepnya uzlah sangat luas. Seseorang perlu memahami fiqh uzlah dengan teliti. Terdapat rukun, syarat, pantang larang dan sebagainya yang mesti difahami agar tidak melanggar syariat.

●     Gua

Gua menjadi pilihan Ashabul Kahfi beruzlah. Gua juga pernah menjadi pilihan Nabi S.A.W bersuluk. Gua Hira’ menyaksikan turunnya wahyu pertama kepada Nabi akhir zaman.

Antara sebab gua menjadi pilihan kerana ianya adalah penempatan yang seratus peratus ciptaan tuhan. Hidup dengan alam semulajadi lebih membantu merasai kewujudan tuhan yang menjadi matlamat uzlah.

●     Rahmat

Rahmat bermaksud kasih sayang tuhan. Walaupun diketahui gua bukanlah tempat yang selesa, tetapi Allah menyatakan mereka beroleh rahmat padanya. Ini bermaksud rahmat bukanlah diukur dari sudut keselesaan dunia atau kelembutan layanan yang diterima. Tetapi atas dasar mereka menurut aturan tuhan.

Konsep Rahmatan lil Alamin haruslah difahami dengan betul. Rahmatan lil Alamin hanya akan berlaku sekiranya umat Islam mengikut syariat Islam sepenuhnya termasuk dalam menguruskan perihal orang-orang kafir.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini memfokuskan isu pengasingan diri yang dilakukan oleh Ashabul Kahfi. Di akhir zaman, uzlah menjadi antara pilihan pendekatan yang diajar oleh Nabi S.A.W. Walau bagaimanapun, ia mestilah bertepatan dengan kondisi dan situasi yang dinyatakan oleh syarak.

Uzlah memiliki banyak tujuan. Antaranya bagi memfokuskan diri untuk melakukan ibadat khusus kepada Allah tanpa gangguan dunia. Juga untuk tujuan bertafakkur memikir kebesaran Allah. Antara lain, ia juga bertujuan bagi memelihara diri daripada terpengaruh dengan persekitaran yang penuh kelalaian dan kemaksiatan.

Banyak pihak hari ini mengambil jalan mudah untuk beruzlah supaya selamat dari fitnah Dajjal. Ada yang memilih bertapa di gua, ada yang memilih tempat terpencil, ada yang menggagaskan idea membina perkampungan yang terpisah dari dunia moden, malah ada yang membuat keputusan berpindah ke Makkah dan Madinah kerana memahami zahir hadis bahawa Dajjal tidak berjaya masuk Makkah dan Madinah.

Soalnya, apakah benar tindakan itu? Di dalam kitab Wabak Sepanjang Jalan karya Said Muhammad Nuh, uzlah boleh termasuk dalam salah satu wabak perjuangan Islam. Antara puncanya adalah kerana melihat kepada sebahagian nas yang mendorong kepada uzlah sahaja tanpa melihat kepada nas yang mendorong supaya hidup dalam masyarakat.

Kerana itulah Imam Hasan alBanna memperkenalkan konsep uzlah hati. Jasad bersama masyarakat, tapi jiwa dan raga bersama tuhan. Tujuan bersama masyarakat tidak lain melainkan atas darurat dakwah dan islah kefasadan ummah, sedang hati amat benci kepada kefasadan dan sentiasa menolak untuk melakukan apa yang orang-orang fasiq lakukan.

Terkandung di dalam sebuah hadis, dua pendekatan antara menghadapi musuh atau uzlah: 

خَيْرُ الناسِ في الفِتَنِ رجلٌ آخِذٌ بِعِنانِ فَرَسِه أوْ قال بِرَسَنِ فَرَسِه خلفَ أَعْدَاءِ اللهِ يُخِيفُهُمْ و يُخِيفُونَهُ ، أوْ رجلٌ مُعْتَزِلٌ في بادِيَتِه ، يُؤَدِّي حقَّ اللهِ تَعالَى الذي عليهِ

“Sebaik-baik manusia di zaman fitnah adalah lelaki yang memegang tali kudanya menghadapi musuh-musuh Allah. Dia menakutkan musuh Allah atau musuh Allah cuba menakutkannya. Atau lelaki yang beruzlah di kampung terpencil, menunaikan hak Allah yang diwajibkan keatasnya.”

[HR Al Hakim]

Menerusi hadis ini, tidak dinafikan pendekatan uzlah itu ada, tetapi sebelum itu diterangkan dahulu yang lebih tuntas adalah berhadapan dengan musuh sekiranya masih punya ruang dan peluang. Jika sudah tidak ada kemungkinan untuk terus bertahan, barulah uzlah menjadi pilihan.

Konsep ini lebih mudah difahami menerusi hadis berikut:

الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ ، وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ ، أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ ، وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

“Orang beriman yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas karenah mereka mendapat pahala yang lebih baik daripada orang beriman yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas karenah manusia.”

[HR Tirmizi]

Nabi S.A.W berpesan kepada Huzaifah ketika beliau bertanya Baginda apakah yang ingin dilakukan sekiranya berhadapan dengan zaman fitnah:

تلزم جماعة المسلمين وإمامهم

“Sentiasalah komited bersama jemaah Islam dan kepimpinannya.”

Huzaifah bertanya lagi, seandainya jika waktu itu tiada jemaah dan tiada pemimpin? Maka sabda Baginda S.A.W:

فاعتزل تلك الفرق كلها، ولو أن تعض على أصل شجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك”.

“Jauhilah kumpulan-kumpulan tersebut semuanya sekalipun kamu terpaksa memamah akar tumbuhan-tumbuhan dan kamu mati dalam keadaan itu.”

[HR Bukhari dan Muslim]

Di Malaysia secara khusus, ruang dakwah dan jihad silmi masih terbuka luas. Orang-orang yang perlu diselamatkan daripada kelalaian dan kesesatan masih terlalu ramai. Sekiranya semua berfikir untuk untuk uzlah, makin berleluasalah kemungkaran dan semakin berkuasalah musuh Islam. Sementelah hari ini, orang yang memiliki kesedaran Islam boleh dibilang dengan jari, berbanding yang kufur dan sesat.

17 Mei 2019
12 Ramadhan 1440

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 17/5/2019