Yakin JAM Perak terus dipacu lebih gagah

IPOH: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Perak diyakini mampu menjadi badan sukarela yang berperanan dengan lebih berkesan sehingga kehadirannya amat-amat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
 
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria ketika merakam ucapan tahniah kepada Pengarah JAM Perak, Abdul Karim Abdul Rashid yang baharu dilantikan berkata, badan di bawah Dewan Pemuda PAS itu mampu terus maju ke hadapan dengan aktif menggerakkan pelbagai kerja amal dalam masyarakat.
 
Menurut beliau, sebagai badan beruniform berteraskan Islam, JAM harus terjun ke tengah-tengah masyarakat tanpa mengira anutan agama, kaum dan fahaman politik pihak-pihak yang dibantu.
 
“Sebagai contoh, sekiranya berlaku apa-apa musibah sama ada banjir, kebakaran, kemalangan dan sebagainya, mangsa-mangsa tidak memilih siapa yang akan membantu mereka.
 
“Pasukan beruniform adalah pasukan yang dilihat sangat relevan oleh segenap lapisan masyarakat sebagai pasukan yang mampu memberikan bantuan segera, misalnya dalam sesuatu musibah secara berkumpulan.
 
“Justeru itu sebagai satu badan beruniform, lebih-lebih lagi yang berteraskan Islam dengan pendekatan kerja-kerja kebajikan, JAM harus bergerak lebih ke hadapan berbanding badan-badan sukarela lain di Perak sendiri khususnya,” katanya.
 
Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, Abdul Karim dilihat ada kewibawaan dan memiliki ketokohan untuk memimpin dan diharap mampu menggerakkan JAM Perak jauh ke hadapan setanding JAM di negeri-negeri lain.
 
Beliau berharap dengan perlantikan sebagai pengarah baru itu, Abdul Karim dapat menerima dengan hati yang rela dan merasakan ianya adalah amanah Allah S.W.T untuk dipikul dengan kesabaran serta penuh tanggungjawab. 
 
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Abdul Karim Abdul Rashid yang telah dilantik sebagai Pengarah JAM Perak yang baru dan saya berharap beliau mampu menerajui badan amal itu perperanan dengan lebih cemerlang.
 
“Mampu pula melahirkan anggota-anggota pergerakan sukarela yang serba boleh selain berjaya menarik seramai mungkin para pemuda menyertai JAM,” tambahnya.
 
Razman berkata lagi, JAM sebagai sebuah badan beruniform yang berteraskan Islam dengan pendekatan kerja-kerja amal kebajikan, telah dilihat sangat cemerlang dan menjadi pilihan generasi muda berfikrah Islam.
 
Justeru itu tambahnya lagi, sebagai pengarah yang telah diamanahkan oleh jamaah, pimpinlah dengan penuh keimanan dan ketakwaan, khususnya untuk bangunkan generasi baru di seluruh negeri.
 
Beliau juga berharap pengarah baru JAM negeri itu dapat melahirkan ahli-ahli pergerakan sukarela serba boleh yang mampu menghayati lima teras budaya Amal.
 
Katanya, lima teras itu ialah beramal kerana Allah, keimanan dan ketaqwaan, ilmu dan beramal soleh serta benar, berkemahiran dan berketrampilan, berdisiplin dan berakhlak mulia.
 
Sementara itu, Abdul Karim yang dilahirkan pada 1975 adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Padang Rengas yang juga AJK JPRN Perak dan Pengarah JPRK Padang Rengas.
 
Beliau yang berpengalaman dalam JAM Perak selama lapan tahun serta aktif dalam PAS sejak 10 tahun, pernah menjadi Pengarah Pusat Khidmat Dun Lubuk Merbau. – HARAKAHDAILY 17/5/2019
Advertisement