PAS Bakri praktik ‘Street Dakwah’ di Sg Abong

BAKRI: Lajnah Dakwah PAS Kawasan Bakri telah mengadakan Street Dakwah sebagai usaha menyebarkan syiar Islam yang telah diadakan di Bazar Ramadan Sungai Abong, di sini petang semalam.

Advertisement

Ianya dilaksanakan sebagai praktikal kepada bengkel yang terdahulu diadakan dengan bimbingan langsung daripada Multiracial Reverted Muslim (MRM) di Madrasah Tahfiz At-Thohiriah, sebelah paginya.

Dalam praktikal tersebut, para sukarelawan dikehendaki menyampaikan risalah dan perkongsian mengenai Ramadan dan pengertian puasa, terutama kepada pengunjung bukan beragama Islam.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Bakri, Ustaz Mohd Asri Abd Rahman, program julung kali itu mendedahkan peserta kepada kerja-kerja dakwah sebagai tanggungjawab bagi setiap Muslim.

Katanya, walaupun sukarelawan terlibat mulanya kurang yakin dan gementar, tetapi dengan panduan yang telah diajarkan serta reaksi positif diterima dari sasaran dakwah menimbulkan semangat.

Seru beliau, program seumpama itu mesti diteruskan bagi memastikan kebenaran Islam dapat disebar sesuai tuntutan Rasulullah S.A.W. supaya disampaikan daripadanya walaupun sepotong ayat.

“Masyarakat bukan Islam perlu didekati dan diberi penjelasan. Kebanyakan pengunjung ditemui memberi reaksi mesra dan positif, walaupun ada segelintir kelihatan takut-takut didekati.

“Pendekatan ini sangat berkesan dam efektif di mana maklumat sebenar berkenaan Islam dapat disampaikan dan mengubah persepsi negatif terhadap Islam.

“Ia juga membuka ruang kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali agama suci ini dengan mudah dan santai,” ujarnya yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Bakri. – HARAKAHDAILY 18/5/2019

IMG 20190518 WA0066