PJ Perak harap mangsa kebakaran dibantu

BAGAN SERAI: Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria berharap pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan segera meringankan bebanan dihadapi keluarga mangsa kebakaran rumah di Taman Seri Selinsing.
 
Katanya, antara tindakan yang perlu disegerakan sudah tentulah membabitkan kediaman, kerana mangsa sekeluarga terpaksa menumpang rumah kakak mereka buat sementara.
 
Selain itu serunya, orang ramai boleh membantu menderma pakaian, barangan keperluan harian dan sebagainya selain wang ringgit kerana mangsa tidak sahaja kehilangan rumah, malah kelengkapan, khususnya untuk menyambut kedatangan Aidilfitri.
 
Beliau turun padang menziarahi rumah mangsa kebakaran tersebut di Simpang Empat Semanggol, di sini semalam.
 
Kebakaran yang berlaku ketika umat Islam sedang bersolat Tarawih itu membabitkan rumah Hasan Hussin, 50, di No 100, Blok G, Taman Seri Selinsing yang dihuni empat lagi mangsa, isterinya, Azizah Abdoll Halim, 45, kakak iparnya, 49 dan dua cucu berusia tujuh dan lima tahun.
 
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak ketika menyampaikan sedikit sumbangan kepada ketua keluarga berkenaan, berharap Hasan dan seluruh keluarganya bersabar di atas ujian Allah S.W.T. itu.
 
Sementara itu, Hasan berkata, kebakaran diakibat litar pintas itu, bagaimanapun tidak menyebabkan berlaku kemalangan jiwa dan kecederaan anggota keluarga, tetapi memusnahkan pelbagai barangan perabut, barangan elektrik dan dokumen-dokumen penting.
 
Pekerja Kilang Acotec itu memaklumkan, berikutan kejadian itu mereka sekeluarga mengalami kerugian harta benda yang dianggarkan hampir RM100,000.
 
Sehubungan itu, bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berderma melalui akaun Maybank isterinya, Azizah Abdoll Halim bernombor 108057027491. – HARAKAHDAILY 19/5/2019
Advertisement