PAS dipalit tuduhan untuk buruk imej bersihnya

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak tertentu cuba mengait dan mengheret Jabatan Amal dengan dakwaan membakar kereta rasmi Mufti Perlis adalah adu domba kerana cemburu kepada PAS.
 
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tuduhan dan fitnah sedemikian menunjukkan pihak berkenaan bankrap modal lalu mengutip ‘sampah’ bertaburan.
 
“Kecemburuan terhadap Islam menyebabkan pihak lawan sentiasa mengaitkan apa jua kesalahan yang dilakukan oleh penganutnya dengan agama yang dianuti. 
 
“Terutama jika berkait dengan keganasan, sedangkan keganasan juga turut dilakukan oleh penganut agama lain. Dalam dunia politik juga begitu.
 
“PAS parti yang bersih akan sentiasa dipalitkan dengan tingkah laku ahlinya, walaupun ia hanya baru di peringkat desas-desus. Hal ini berbeza dengan parti yang kotor.
 
“Parti kotor, walaupun ahli atau pemimpinnya mengugut polis, mengganggu wanita dengan mesej-mesej lucah atau tertangkap rasuah, parti mereka tidak dipalit kerana telahpun kotor dari awal,” bidasnya.
 
Malah ujarnya, ada pemimpin dari parti kotor sedemikian walaupun telah dibuktikan salah oleh mahkamah dan pernah meringkuk dalam penjara, malu untuk dikaitkan dengan pengenalan berkaitan.
 
Tetapi tempelak Ahli Parlimen Pasir Mas itu, mereka tidak pula malu untuk menghadapkan tuduhan kepada pihak yang difitnah bertujuan memburukkan imej bersih dan reputasi baik sedia ada. – HARAKAHDAILY 20/5/2019
Advertisement