Ameerah sahut kerjasama Puteri di Pasir Salak

PASIR SALAK: Ameerah Kawasan Pasir Salak telah turut serta pada gotong-royong memasak dan mengedar bubur lambuk serta majlis iftar bersama Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Advertisement

Program anjuran Puteri Umno Bahagian Pasir Salak yang menyaksikan hubungan erat kedua-dua entiti PAS dan Umno itu telah dilangsungkan dengan jayanya di Pekan Kampung Gajah, di sini kelmarin.

Ketua Ameerah Pasir Salak, Maryam Farhana Suparman melahirkan keyakinannya bahawa ta’awun kedua parti itu mampu membawa perubahan kepada politik negara, terutama dalam memartabatkan Islam.

“Ta’awun kita atas dasar Islam. Sekiranya Islam diletakkan tertinggi, kita akan teruskan ta’awun ini demi melihat kemenangan Islam suatu hari nanti,” ujarnya yang mengemukakan beberapa pilihan raya kecil yang dimenangi sebagai petunjuk positif itu.

Sementara Ketua Puteri Umno Malaysia, Zahida Zarik Khan pula membangkitkan motivasi dengan mengingatkan bahawa Umno dan PAS masih merupakan tulang belakang politik negara walaupun BN kalah pada PRU lalu.

Ujar beliau, kerja-kerja menyantuni rakyat perlu diteruskan dan mengambil iktibar kekalahan atas kelemahan yang ada termasuk di media sosial, selain memantapkan jalinan kerjasama antara entiti kedua parti itu. – HARAKAHDAILY 21/5/2019

IMG 20190521 WA0014