Muktamar Muslimat PAS catat kelainan

KUANTAN: Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) tahun mencatat kelainan apabila diadakan di Bukit Gambang Resort City dan diadakan lebih awal berbanding muktamar penuh.

Advertisement

Resort City turut menawarkan pakej penginapan harga menarik kepada perwakilan dan pemerhati.

Pengarah muktamar Dr Nurul Hani Ali berkata, perwakilan dan pengunjung boleh membawa ahli keluarga ke Taman Tema dan Taman Safari dengan potongan harga yang menarik.

Katanya, muktamar DMPM kali ke-59 akan berlangsung pada 15 Jun ini di Pusat Konvensyen Bukit Gambang City Resort, Gambang.

Katanya, dijangka muktamar tersebut akan dihadiri perwakilan dari 179 kawasan dari seluruh negara, di samping itu seramai 2,000 pemerhati. “Muktamar kali ini akan dirasmikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang buat julung kalinya.

“DMPP amat berbangga kerana muktamar kali ini akan dihadiri perwakilan Muslimat Libaran, Sabah yang baharu dilulus penubuhannya,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Tema muktamar kali ini ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’. Pendaftaran perwakilan pada jam 3 petang 14 Jun. Perasmian dan sidang muktamar akan berlangsung 15 Jun bermula 8 pagi.

Muktamar DMPM kali 59 juga akan berakhir dengan slot persembahan khas Lajnah Kesenian dan Kebudayaan. – HARAKAHDAILY 21/5/2019