Penafian kosong LKS, ‘disiplin baru’ ala DAP

SEBELUM ini telah saya bangkitkan mengenai kenyataan Dato’ Teng Chang Khim, bahawa Dr Maszlee bodoh dan kenyataan Dr P Ramasamy bahawa Dr Maszlee tidak berbeza dengan pemimpin Umno.
 
Begitupun, Lim Kit Siang sendiri kemudiannya menafikan bahawa DAP berkempen untuk menyingkirkan Dr Maszlee, sambil menambah “satu disiplin baru diperlukan oleh semua pihak dalam PH jika tidak Malaysia Baru tidak akan berjaya”.
 
Malangnya, belum pun hilang panas kenyataan Lim Kit Siang ini, serangan keterlaluan terhadap Dr Maszlee diteruskan lagi oleh para pemimpin DAP yang lain sekali gus menjadikan penafian Lim Kit Siang satu penafian kosong yang tidak bererti.
 
Mengulangi kenyataan “bodoh” Dato’ Teng Chang Khim, Ahli Jawatankuasa DAP Johor menulis: “Jahil (Stupid)! Penguasaan sesuatu bahasa termasuk Mandarin ataupun Tamil adalah suatu kemahiran… Keyakinan orang Melayu sering digodai oleh pemimpin seperti anda yang sering memutar belitkan fakta.”
 
Mengulangi kenyataan “Umno” Dr P Ramasamy, Ahli CCC DAP merangkap Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu, pula menyifatkan kenyataan Dr Maszlee menyamai kenyataan Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato’ Seri Ismail Sabri dan Dato’ Seri Najib Razak.
 
Lebih jauh lagi, Ronnie Liu, mengulangi desakan yang pernah dibuat oleh Ong Boon Piow dan Abdul Aziz Isa, secara terbuka menggesa Perdana Menteri segera menggantikan Dr Maszlee dengan seorang Menteri Pendidikan yang lebih baik berbanding Dr Maszlee yang disifatkan sebagai Menteri Pendidikan untuk bangsa tertentu sahaja.
 
Malah, kali ini bukan setakat Dr Maszlee sahaja yang menjadi sasaran, tetapi pihak-pihak yang membuat kenyataan membela beliau juga turut menjadi mangsa bidasan para pemimpin DAP ini.
 
Termasuk di dalam kategori ini adalah Naib Canselor USM, Prof Dato’ Dr Asma Ismail, yang diselar oleh Adun, Satees Muniandy, sebagai “pembodek Dr Maszlee”, begitu juga dengan rekod USM dari segi pemberian Profesor kepada pensyarahnya yang turut dipersoalkan.
 
Begitu juga dengan Ahli EXCO Pemuda (ARMADA) BERSATU, Muzzammill Ismail, yang diselar beramai-ramai oleh 15 Ahli EXCO Pemuda (DAPSY) DAP kerana mengaitkan gesaan menghapuskan kuota kemasukan ke program matrikulasi dengan penghapusan sekolah vernakular (SJKC/SMKC dan SJKT/SMKT).
 
Tindakan agresif para pemimpin DAP ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya sama ada ini adalah bentuk ‘disiplin baru’ Lim Kit Siang, sama ada Lim Kit Siang sudah hilang kawalan ke atas DAP atau sama ada membiarkan pemimpin bawahan DAP mengkritik Menteri BERSATU adalah memang strategi DAP?
 
Jika benar Lim Kit Siang dan pemimpin tertinggi DAP lain tidak mempunyai sebarang agenda tersurat, mengapakah terlalu sukar untuk mereka menegur atau mendisiplinkan para pemimpin DAP yang cukup tidak berdisiplin ini? – HARAKAHDAILY 22/5/2019
Advertisement