Kerajaan perlu tegas tangani isu tambak laut

alias hamid

KERAJAAN Persekutuan perlu ada penegasan dalam menangani isu kontroversi projek tambakan laut di Pulau Pinang. Bahkan, Kerajaan harus berada di barisan hadapan dalam menyelesaikan isu ini supaya kebajikan puluhan ribu nelayan dijaga dan khazanah alam sekitar dipelihara.

Advertisement

Saya menggesa agar peranan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) digunakan sebaik mungkin yang bertanggungjawab besar dalam perancangan bandar yang lestari dan bersepadu di negara kita.

Malah, kementerian yang berkaitan juga perlu tegas dalam menyuarakan pandangan dan akibat jika projek ini diteruskan tanpa ada sebarang kompromi mengikut sektor bahagian menteri masing-masing.

Kerajaan juga perlu prihatin dan peka terhadap nasib para nelayan yang bergantung rezeki sepenuhnya kepada sumber hasil laut. Malah, projek ini memberikan kesan buruk yang berpanjangan kepada alam sekitar selain menjejaskan mata pencarian para nelayan.

Pandangan dan perbincangan daripada jabatan dan agensi yang terlibat, pakar-pakar dari universiti tempatan, para nelayan serta aktivitis alam sekitar perlu diambil kira bagi menyelesaikan isu ini dengan teliti, telus dan komprehensif.

Justeru, saya berharap strategi pembangunan yang dilaksanakan perlu lestari dan mengikut garis panduan Islam agar tidak mengorbankan kebajikan rakyat dan menjejaskan alam sekitar.

Islam Memimpin

TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
23 Mei 2019/ 18 Ramadan 1440 – HARAKAHDAILY 23/5/2019