Kelantan perkenal beras berkat al-Falah

KOTA BHARU: Kelantan memperkenalkan jenama beras berkat al-Falah yang menekankan sukatan satu gantang Baghdadi bersamaan 2.7 kilogram.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Mohd Tuan Saripuddin Tuan Ismail berkata, ia dilakukan bagi menguar-uarkan semula kaedah sukatan itu kepada masyarakat Islam.

Menurut beliau, usaha tersebut sangat sesuai untuk tujuan pembayaran zakat fitrah melalui beras, fidyah dan infak dengan kualiti beras yang terkawal iaitu lima peratus kadar hancur.

“Keputusan ini bertepatan dengan keputusan yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 28 Januari 1981 iaitu ukuran nisbah jenis-jenis zakat kepada sistem matrik adalah harus.

“Manakala pada 11 Mac 2001 keputusan sama dikeluarkan mencadang kepada negeri-negeri bagi penggunaan satu gantang Baghdadi,” katanya selepas menyaksikan gimik pelancaran replika gantang Baghdadi 1985 yang disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Pelancaran itu sempena Ijtimak Pondok seMalaysia di Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV semalam. – HARAKAHDAILY 24/5/2019