Masih berharap k’jaan beri duit raya warga FELDA

PAGOH: PAS Kawasan Pagoh telah meneruskan rutinnya dengan mengadakan Ziarah Ramadan menyantuni warga FELDA Maokil dalam Dun Bukit Kepong, di sini semalam.
 
Delegasi ini dipimpin Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pagoh, Yaakob Sukkor dengan diiringi konvoi motosikal.
 
Turut sama adalah Setiausaha Pemuda PAS Pagoh, Nasli Izhar Kamaruddin dan Ketua PAS Cawangan Moakil, Zainal Abidin Abd Ghani yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Tanah dan Peneroka PAS Pagoh.
 
Mengharukan, apabila rata-rata peneroka yang ditemui rombongan PAS Pagoh meluahkan rasa terkejut berikutan tiada pemberian bonus raya bagi sambutan Syawal sebagaimana diumum kerajaan.
 
Malah, keluhan yang didengari dari peneroka ditemui jelas menggambarkan rasa susah hati dan kekecewaan setelah terkesan secara langsung dengan situasi harga komoditi tidak menentu.
 
Apatah lagi menurut aduan mereka, sejak pentadbiran Kerajaan Malaysia Baharu, warga peneroka menjadi mangsa kelewatan pembayaran oleh pihak pengurusan.
 
Ustaz Nawfal dalam pada itu tetap berharap supaya pihak kerajaan mengkaji semula keputusan tidak memberi duit raya tersebut kerana para peneroka adalah antara tunjang negara.
 
Serunya, kerajaan juga perlu yakin terhadap konsep pahala dan keberkatan; bahawa pemberian duit raya itu boleh memudahkan urusan para peneroka sebagai golongan memerlukan.
 
“Pemberian (duit raya) itu kepada mereka selama ini pejuang dalam industri penting ini di mana pada waktu ini mereka memerlukan. Jadi pertolongan kerajaan (memberi duit raya) akan kembali sebagai keberkatan kepada pihak kerajaan,” ujar beliau.
 
Katanya, hal tersebut tidak hanya dinanti warga peneroka FELDA Moakil, tetapi juga suatu yang amat dinanti lebih 112,000 peneroka di seluruh negara di mana ia wajar dan sepatutnya mudah bagi kerajaan. – HARAKAHDAILY 25/5/2019
IMG 20190525 WA0049
 
IMG 20190525 WA0042
Advertisement